WASHINGTON: Seorang pegawai kanan Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) memaklumkan penjualan senjata kepada Taiwan kini ditangguhkan sementara bagi memastikan tentera AS mempunyai bekalan peluru dan persenjataan mencukupi untuk operasi berkaitan perang Iran.
Dalam satu pendengaran Kongres pada Khamis, Pemangku Setiausaha Tentera Laut AS, Hung Cao berkata, pembelian senjata Taiwan bernilai AS$14 bilion (RM55.5 bilion) masih ditangguhkan buat masa ini.
“Ketika ini kami melakukan penangguhan bagi memastikan kami mempunyai peluru diperlukan untuk operasi Kemarahan Epik dan kami mempunyai bekalan yang mencukupi.
“Namun, kami mahu memastikan semuanya benar-benar mencukupi sebelum penjualan ketenteraan asing diteruskan apabila pentadbiran menganggapnya perlu,” tambah beliau.
Jabatan Negara dan Jabatan Pertahanan AS tidak segera memberi maklum balas terhadap kenyataan Cao itu.
Presiden AS, Donald Trump juga belum memberikan komitmen sama ada akan meneruskan penjualan senjata tersebut. Ia menimbulkan kebimbangan mengenai sokongan Washington terhadap Taiwan yang dituntut China sebagai sebahagian wilayahnya.
Menjelang lawatan rasmi ke China baru-baru ini, Trump berkata, beliau akan membincangkan isu penjualan senjata itu dengan Presiden China, Xi Jinping, berbeza dengan pendirian lama Washington yang menyatakan ia tidak akan merujuk Beijing dalam perkara berkenaan.
Selepas lawatan itu, Trump berkata, beliau tidak membuat sebarang komitmen kepada Jinping mengenai Taiwan dan akan membuat keputusan berhubung penjualan senjata tersebut dalam tempoh terdekat.
AS hanya mengiktiraf Beijing secara rasmi, namun undang-undang negara itu mewajibkan Washington membekalkan senjata kepada Taiwan untuk tujuan pertahanan.
China berikrar untuk mengambil alih Taiwan dan tidak menolak penggunaan kekerasan, selain meningkatkan tekanan ketenteraan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.- AFP










