WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) pada Rabu mengumumkan akan melonggarkan sistem bayaran bon bagi pemohon visa dalam kalangan peminat bola sepak dari beberapa negara tertentu yang ingin menyaksikan kejohanan Piala Dunia akan datang.
Langkah ini diambil bagi menangani kesan inisiatif Presiden Donald Trump yang mewajibkan rakyat dari 50 buah negara membangun untuk membayar bon antara AS$5,000 (RM19,641) hingga AS$15,000 (RM58,925) bagi mendapatkan visa.
Jabatan Negara AS mengesahkan bahawa pengecualian bon akan diberikan kepada ahli pasukan yang bertanding serta peminat yang sudah memiliki tiket dan berdaftar di bawah sistem keutamaan visa.
“Kami kekal komited untuk memperkukuh keutamaan keselamatan negara AS sambil memudah cara perjalanan yang sah bagi kejohanan Piala Dunia yang akan datang,” kata Penolong Setiausaha Negara bagi Hal Ehwal Konsular, Mora Namdar.
Tambah beliau, pentadbiran Trump berhasrat untuk menganjurkan Piala Dunia Persekutuan Bole Sepak Antarabangsa (FIFA) yang terbesar dan terbaik dalam sejarah. Pengumuman ini turut disambut baik oleh badan induk bola sepak dunia.
“Pengumuman hari ini daripada Jabatan Negara AS seterusnya membuktikan kerjasama berterusan kami dengan kerajaan AS dan Pasukan Petugas Rumah Putih bagi Piala Dunia FIFA untuk penganjuran acara global yang berjaya, memecah rekod dan tidak dapat dilupakan,” lapor jurucakap FIFA dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, kebimbangan tetap timbul bagi penyokong dari negara seperti Haiti dan Iran yang menghadapi sekatan kemasukan hampir menyeluruh, selain beban kewangan yang tinggi bagi negara yang masih terikat dengan bon visa.
Satu kajian oleh firma guaman Mendoza mendapati bahawa Haiti berkemungkinan besar boleh beraksi dalam perlawanan mereka tanpa kehadiran peminat yang melakukan perjalanan dari negara tersebut akibat sekatan yang dikenakan.
Kajian itu juga mendedahkan bahawa bagi lima negara kelayakan yang terjejas, nilai bon AS$15,000 (RM58,925) adalah bersamaan dengan purata pendapatan selama tiga tahun bagi rakyat mereka.
Piala Dunia yang dijadualkan bermula pada 11 Jun ini bakal dianjurkan secara bersama oleh Kanada, Mexico dan AS.- AFP










