TEHERAN/WASHINGTON: Jurucakap kanan Angkatan Tentera Iran, Abolfazl Shekarchi berkata, sebarang pencerobohan baharu terhadap negara itu akan dibalas dengan tindak balas jauh lebih teruk yang melangkaui rantau tersebut.
Dalam kenyataan yang dipetik oleh agensi berita Fars semalam, Shekarchi berkata, sekiranya berlaku pusingan perang baharu, serangan Iran akan melangkaui sempadan rantau itu dan menjadi lebih berat serta lebih ganas berbanding sebelumnya.
Beliau berkata demikian sehari selepas tentera AS melakukan serangan di selatan Iran terhadap sasaran termasuk bot yang cuba meletakkan periuk api dan tapak pelancar peluru berpandu.
Menurut Fars, jet AS dan Israel telah menyerang bot-bot Iran di selatan Pulau Larak di Selat Hormuz, menyebabkan beberapa warganya terbunuh.
SERANGAN
Bagaimanapun, Sherkarchi berkata, Teheran telah mengenal pasti sasarannya jika berlaku serangan daripada AS dan Israel serta bersedia untuk perang, menurut laporan Press TV.
Beliau berkata, respons terhadap sebarang pencerobohan baharu akan berbeza daripada yang sebelumnya dan menegaskan bahawa serangan akan melangkaui sempadan rantau selain akan menjadi jauh lebih sengit, memusnahkan serta kuat.
Shekarchi turut memberi amaran bahawa jika perang tercetus semula dan eksport Iran disekat, Republik Islam Iran akan menghalang eksport minyak dari rantau tersebut.
Terdahulu, media Iran melaporkan beberapa letupan di bandar pelabuhan selatan Bandar Abbas, sebuah hab strategik berhampiran Selat Hormuz, iaitu laluan penting perdagangan global yang mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan minyak dan gas dunia.
Punca letupan itu masih tidak diketahui. Serangan ke atas bot-bot dan tapak pelancar peluru berpandu itu dilakukan pada hari ketika delelasi dari negara itu tiba di Doha, Qatar bagi berbincang untuk menamatkan perang yang bermula dengan serangan AS serta Israel ke atas Iran pada 28 Februari. Ia turut disusuli serangan balas Iran.
Presiden AS, Donald Trump kemudian mengumumkan gencatan senjata yang mula berkuat kuasa pada 8 April sebelum dilanjutkan tanpa had bagi membolehkan Iran dan AS berunding untuk menamatkan perang tersebut .
RUNDINGAN
Perunding-perundung Iran tiba untuk rundingan penting dengan pengantara Qatar, menandakan usaha yang dipertingkat bagi mencapai perjanjian besar antara kedua-dua negara.
Lawatan delegasi itu berlaku ketika usaha diplomatik baharu sedang digerakkan bagi mengurangkan ketegangan antara Tehran dan Washington. Ia berlaku selepas beberapa bulan ketidakstabilan serantau dan peningkatan konfrontasi berkaitan program nuklear Iran serta keselamatan di rantau Teluk.
“Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf dan Menteri Luar, Abbas Araghchi tiba di Doha untuk rundingan berkaitan usaha diplomatik berterusan bagi menamatkan konflik,” kata satu sumber yang dimaklumkan mengenai perkara itu kepada AFP.
Sumber itu menambah bahawa lawatan tersebut akan memberi tumpuan kepada isu berkaitan Selat Hormuz dan uranium yang sangat diperkaya. Gabenor Bank Pusat, Abdolnaser Hemmati turut menyertai delegasi bagi membincangkan isu dana yang dibekukan yang dimasukkan dalam memorandum persefahaman sebagai sebahagian daripada perjanjian akhir antara AS dengan Iran.
Menurut IRNA, lawatan itu adalah sebahagian daripada proses diplomatik dan delegasi tersebut akan bertemu dengan Perdana Menteri Qatar, Mohammed bin Abdulrahman Al Thani.
Lawatan itu bertujuan untuk menilai sama ada AS benar-benar serius sebelum Iran menerima perjanjian gencatan senjata, kata IRNA.
TINDAK BALAS
Dalam pada iru, Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) berkata pada Selasa bahawa ia telah menembak jatuh sebuah dron MQ-9 milik AS dan melepaskan tembakan ke arah pesawat Amerika lain yang didakwa memasuki ruang udara Iran di rantau Teluk.
Dalam kenyataan yang disiarkan agensi berita rasmi Iran, IRNA dan dimuat naik di laman Sepah News, IRGC berkata, pesawat tentera AS memasuki ruang udara Iran di rantau Teluk Parsi, di mana unit pertahanan udaranya mengenal pasti dan menembak jatuh sebuah dron MQ-9.
Pasukan itu turut mendakwa unitnya melepaskan tembakan ke arah dron RQ-4 dan jet pejuang F-35 yang menceroboh, namun tidak menyatakan bila insiden tersebut berlaku.
Menurut IRGC berkata, dron RQ-4 dan jet pejuang F-35 itu memasuki ruang udara Iran sebelum berundur semula.
NASIB GENCATAN SENJATA
Dua pegawai Amerika Syarikat mengesahkan bahawa AS kekal komited terhadap gencatan senjata walaupun berlaku peningkatan keganasan di selatan Iran dan rantau Teluk pada Isnin.
Akhbar The Wall Street Journal memetik pegawai tersebut sebagai berkata bahawa serangan AS yang menyasarkan tapak peluru berpandu Iran dan kapal peletak periuk api pada Isnin dianggap sebagai langkah pertahanan untuk melindungi anggota tentera AS.
Sebelum ini, rundingan damai antara AS dengan Iran gagal dicapai di Islamabad, Pakistan yang berlangsung selama dua hari dari 11 hingga 12 Apri. – AFP/AGENSIl










