KATHMANDU: Nepal mengeluarkan waran tangkap terhadap bekas Perdana Menteri, Sher Bahadur Deuba, atas dakwaan rasuah, menjadikannya tokoh politik berprofil tinggi terkini yang disiasat di bawah kerajaan baharu.
Deuba, 79, kini berada di luar negara untuk rawatan perubatan, menafikan dakwaan berkenaan serta menegaskan siasatan berkaitan pengubahan wang haram dimulakan terhadapnya dan keluarga.
“Propaganda palsu sedang disebarkan mengenai harta keluarga saya,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Waran tangkap turut dikeluarkan terhadap isteri Deuba, bekas Menteri Luar, Arzu Rana Deuba, susulan permintaan Jabatan Siasatan Pengubahan Wang Haram, menurut pegawai mahkamah di Kathmandu.
Media tempatan melaporkan pasangan itu baru-baru ini berada di Singapura, dan pihak polis kini sedang memohon notis Interpol untuk tindakan lanjut.
Waran itu dikeluarkan sebulan selepas Perdana Menteri, Balendra Shah, memenangi pilihan raya dengan majoriti besar berasaskan janji perubahan politik dipimpin golongan muda, pemilihan pertama sejak tragedi berdarah pada September 2025.
Deuba, yang berkhidmat selama lima penggal sebagai perdana menteri, merupakan pemimpin kanan parti Kongres Nepal.
“Hidup saya bagaikan buku terbuka. Saya menghabiskan seluruh hidup saya berusaha untuk mewujudkan sistem tadbir urus demokratik di Nepal,” katanya.
Beliau berundur dari jawatan sebagai presiden parti pada Januari lalu, selepas ahli-ahli muda menuntut perubahan kepimpinan.
Bulan lalu, pihak berkuasa menahan bekas Perdana Menteri, KP Sharma OIi dan bekas Menteri Dalam Negeri, Ramesh Lekhak atas peranan mereka yang didakwa dalam tindakan keras sehingga mengorbankan nyawa penunjuk perasaan protes antirasuah pada September. – AFP










