WASHINGTON: Wajah Presiden, Donald Trump bakal dipaparkan dalam sebilangan pasport Amerika Syarikat (AS) tidak lama lagi, menurut kenyataan rasmi pada Selasa.
Langkah drastik itu dianggap memecah tradisi memandangkan pemimpin AS tersebut kini dilihat semakin agresif meletakkan pengaruh peribadinya ke atas institusi kerajaan.
Tindakan memaparkan wajah pemimpin yang sedang berkhidmat di dalam pasport mempunyai rekod sejarah yang sangat sedikit di seluruh dunia, apatah lagi bagi sebuah negara demokrasi.
Trump bakal menjadi Presiden AS pertama yang wajahnya dipaparkan dalam dokumen perjalanan rakyat negara itu.
Jabatan Negara AS memaklumkan pasport edisi terhad itu ditawarkan bagi memperingati ulang tahun ke-250 Deklarasi Kemerdekaan AS pada tahun ini.
Menerusi hantaran di media sosial, jabatan tersebut mempamerkan sampel pasport yang menunjukkan wajah Trump yang kelihatan serius, ditindan di atas teks Deklarasi 4 Julai 1776. Turut kelihatan di bawah imej tersebut adalah tandatangan Trump yang dicetak dengan warna emas.
Selain versi Trump, jabatan itu turut menyediakan satu lagi pilihan pasport edisi terhad yang memaparkan lukisan bersejarah Bapa Pengasas AS.
“Sambil AS meraikan ulang tahun ke-250 pada Julai ini, Jabatan Negara sedang bersedia untuk mengeluarkan sejumlah terhad pasport AS yang direka khas bagi memperingati peristiwa bersejarah ini,” kata jurucakap Jabatan Negara, Tommy Pigott.
Seorang pegawai lain yang enggan dikenali memberitahu pasport bertema Trump itu hanya boleh didapati melalui janji temu secara bersemuka di Washington selagi stok masih ada tanpa sebarang kos tambahan.
Bagaimanapun, masih belum jelas sama ada pemohon pasport mempunyai hak untuk menolak edisi khas tersebut. Namun, majoriti rakyat AS yang memohon pasport melalui pejabat pos tempatan tidak akan menerima edisi khas ini.
Langkah tersebut mengundang kritikan tajam daripada ahli politik Parti Demokrat yang menyelar Setiausaha Negara, Marco Rubio berhubung inisiatif berkenaan.
“Setiausaha Rubio sepatutnya meluangkan lebih banyak masa meyakinkan bosnya untuk menamatkan peperangan pilihannya di Iran, bukannya membazirkan wang pembayar cukai AS demi melayan sifat narsisisme Trump,” tulis ahli Demokrat dalam Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Dewan Perwakilan AS menerusi platform X. -AFP










