KANGAR: Lebih 500 pesakit pada setiap tahun di negeri ini berpeluang mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) menerusi pelancaran perkhidmatan respiratori di hospital tersebut.
Perkhidmatan yang disediakan itu merangkumi bronkoskopi, pleuroskopi serta teknologi ‘whole body plethysmography’ di Respiratory Suite dan makmal respiratori.
Inisiatif baharu itu juga diterajui oleh pakar perubatan respiratori dalam meningkatkan kualiti rawatan penyakit paru-paru dan sistem pernafasan, sekali gus memperkukuh perkhidmatan kesihatan di Perlis.
Presiden Persatuan Pakar Perubatan Dalaman Maju dan Akut serta Ultrasound Malaysia, Professor Datuk Seri Dr. Paras Doshi berkata, sebelum ini, ramai pesakit terpaksa mendapatkan rawatan respiratori secara khusus di Alor Setar atau Pulau Pinang yang bukan sahaja memakan masa, malah turut menambah beban dengan keadaan kesihatan mencabar.
“Dengan kewujudan unit ini, lebih 500 pesakit setiap tahun kini berpeluang menerima rawatan di negeri sendiri. Perkembangan ini bukan sahaja memendekkan tempoh menunggu, malah membolehkan saringan dilakukan lebih awal di samping rawatan dimulakan dengan lebih cepat dan berkesan,” katanya pada Majlis Perasmian Suit Intervensi Pulmonologi dan Makmal Respiratori di Unit Perubatan Respiratori HTF, di sini.
Majlis perasmian yang bersempena Program Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Peduli di sekitar Kangar turut disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Pada program sama, Tuanku Syed Faizuddin juga berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan agihan zakat MAIPs kepada tiga asnaf terpilih dari Kampung Behor Empiang dan Kampung Teluk Kachang.
Menurut Paras, Tuanku Syed Faizuddin juga sentiasa menekankan tentang kepentingan bagi memperkasa perkhidmatan kesihatan demi kesejahteraan rakyat di negeri ini.
“Keprihatinan dan komitmen baginda menjadi pemangkin kepada pembangunan sektor kesihatan yang lebih mampan di negeri ini.
“Kemajuan sistem kesihatan ini juga didorong oleh perkembangan pesat perkhidmatan Perubatan Akut di Perlis yang menjadi pemangkin kepada kemasukan lebih banyak pakar,” katanya.-UTUSAN










