Turkiye perketat kawalan internet menjelang pengebumian mangsa tembakan

Turkiye perketat kawalan internet menjelang pengebumian mangsa tembakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANKARA: Turkiye memperketat kawalan terhadap media sosial susulan dua insiden tembakan di sekolah dalam tempoh dua hari yang menggegarkan negara itu, dengan puluhan tangkapan dibuat menjelang pengebumian mangsa yang kebanyakannya kanak-kanak.

Pihak berkuasa memaklumkan seramai 83 individu ditahan, ratusan akaun disekat dan kumpulan ditutup selepas wujud hantaran yang memuji dua serangan tersebut, satu pada Selasa yang mencederakan 16 orang dan satu lagi pada Rabu yang mengorbankan sembilan serta mencederakan 13 orang.

“Perintah tangkapan dikeluarkan terhadap 83 individu yang didapati terlibat dalam hantaran dan aktiviti yang memuji jenayah serta penjenayah dan menjejaskan ketenteraman awam, dan tindakan undang-undang telah diambil terhadap mereka.

“Selain itu, akses kepada 940 akaun media sosial telah disekat, manakala 93 kumpulan Telegram ditutup ,” kata polis dalam satu kenyataan.

Lapan daripada mangsa yang maut ialah kanak-kanak berusia 10 dan 11 tahun, serta seorang guru berusia 55 tahun. Suspek dalam kedua-dua kes juga terbunuh, menurut pihak berkuasa.

Serangan pada Selasa di wilayah tenggara Sanliurfa menyaksikan seorang bekas pelajar melepaskan tembakan di sekolah menengah lamanya. Pihak berkuasa berkata, dia mengambil nyawa sendiri selepas dikepung polis.

Serangan pada Rabu pula dipercayai dilakukan oleh seorang pelajar berusia 14 tahun yang tiba di sekolah di wilayah selatan Kahramanmaras dengan lima senjata api sebelum melepaskan tembakan.

Pihak berkuasa berkata, pelajar itu yang anak kepada bekas pegawai polis, telah merancang serangan tersebut lebih awal.

Ia berdasarkan dokumen yang ditemui pada komputernya bertarikh 11 April yang menunjukkan dia berniat melancarkan satu operasi besar dalam masa terdekat.

Suspek dilaporkan maut di lokasi kejadian, namun punca kematiannya masih belum jelas. Menurut polis, bapanya telah ditahan, manakala media tempatan melaporkan ibunya yang juga seorang guru turut ditahan.

Majlis pengebumian akan diadakan pada Khamis di bandar Kahramanmaras.

Polis berkata, suspek berusia 14 tahun itu turut merujuk kepada seorang penembak beramai-ramai di Amerika Syarikat (AS), di mana serangan seumpama itu lebih kerap berlaku dalam gambar profil WhatsApp miliknya.

“Dapatan awal siasatan menunjukkan pelaku menggunakan imej pada profil WhatsApp yang merujuk kepada Elliot Rodger, yang melakukan serangan di AS pada 2014,” kata polis dalam satu kenyataan.

Rodger, warga Amerika berusia 22 tahun membunuh enam orang di kampus University of California, Santa Barbara sebelum membunuh diri.

Menurut dapatan awal, tiada kaitan dengan keganasan atau aktiviti pengganas dikenal pasti dalam insiden tembakan pada Rabu itu, kata polis dan pihak pendakwa.

“Ia kelihatan sebagai satu tindakan terpencil,” tambah polis.

Sekolah di Kahramanmaras akan ditutup pada Khamis dan Jumaat.

Insiden tembakan beramai-ramai jarang berlaku di Turkiye dan kejadian ini mencetuskan seruan untuk mengadakan protes.

Puluhan ahli kesatuan guru utama berhimpun di luar kementerian pendidikan di Ankara pada Rabu dan menyeru mogok selama dua hari di seluruh negara.

Mereka membawa sepanduk bertulis ‘Kami tidak akan menyerahkan sekolah kami kepada keganasan’.

Presiden, Recep Tayyip Erdogan menzahirkan kesedihan terhadap serangan tragis pada Rabu itu dan berjanji insiden tersebut akan disiasat secara menyeluruh.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×