WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengkritik negara-negara Eropah, termasuk United Kingdom (UK) dan Perancis, kerana menolak untuk menyertai perangnya menentang Iran, ketika hubungan transatlantik meruncing akibat konflik yang menjejaskan ekonomi global.
Banyak negara Eropah menyifatkan konflik itu sebagai tidak sah di sisi undang-undang, dengan beberapa daripadanya menyekat pesawat Israel dan AS daripada membawa senjata melalui ruang udara mereka.
Menerusi platform Truth Social, Trump menggesa kerajaan yang bimbang mengenai harga bahan api supaya ‘mendapatkan minyak sendiri’ secara paksa dari Teluk, kenyataan yang mendorong kepada kenaikan harga minyak.
Beliau kemudiannya mendakwa operasi ketenteraan AS di Iran dijangka berakhir dalam tempoh dua hingga tiga minggu, ketika rundingan yang didakwa dengan Teheran sedang berjalan.
Trump juga memberitahu pemberita tanggungjawab untuk memastikan Selat Hormuz terbuka terletak pada negara-negara yang menggunakannya.
“Itu bukan tanggungjawab kita, itu akan menjadi tanggungjawab mereka yang menggunakan selat itu,” katanya.
RANCANGAN BERISIKO, TIDAK REALISTIK
Sebagai tanda awal beberapa negara Eropah mula menentang perang dengan lebih proaktif. Perancis pada Selasa dilaporkan menghalang pesawat Israel membawa senjata melalui ruang udaranya, manakala Itali menolak kebenaran saat akhir untuk pesawat pengebom AS mendarat di Sicily.
Sepanyol sebelum ini menolak penggunaan pangkalan dan ruang udaranya oleh AS untuk perang tersebut, dan kelmarin Menteri Pertahanan Sepanyol berkata, negara itu tidak akan menerima peringatan daripada sesiapa.
UK pula membenarkan AS menggunakan pangkalannya bagi perang yang dianggap haram oleh kerajaan mereka, tetapi tetap menerima teguran terbuka daripada Trump.
“Semua negara yang tidak boleh mendapatkan bahan api jet kerana Selat Hormuz, seperti UK, yang enggan terlibat dalam pemusnahan Iran, sepatutnya membeli minyak AS sebagai ganti,” kata Trump dalam hantaran pada Selasa.
Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth berkata, terdapat negara yang sepatutnya bersedia untuk memainkan peranan dalam laluan air kritikal tersebut.
“Terakhir kali saya periksa, sepatutnya ada Tentera Laut Diraja yang besar dan kuat boleh bersedia melakukan perkara seperti itu,” kata Hegseth ketika menegur UK dalam sidang media pada Selasa.
Rancangan untuk mengawal Selat Hormuz secara paksa dianggap berisiko tinggi dan tidak realistik, sementara negara Eropah bertahun-tahun merancang untuk membeli lebih banyak minyak AS.
Dalam hantaran berasingan, Trump mengkritik Perancis kerana tidak membenarkan pesawat menuju Israel, yang membawa bekalan ketenteraan, terbang melalui wilayah Perancis, sambil menuduh negara itu ‘sangat tidak membantu’.
Pejabat Presiden Perancis, Emmanuel Macron berkata, pihak terkejut dengan hantaran Trump dan menegaskan Paris tidak mengubah pendiriannya sejak hari pertama perang.
Kekecewaan global terhadap kesan ekonomi konflik semakin meningkat. Perdana Menteri Ireland, Micheál Martin berkata, kejutan bekalan minyak akibat serangan AS-Israel terhadap Iran berkemungkinan yang paling teruk pernah berlaku.
Dengan purata harga gas di AS melepasi AS$4 (RM16) segelen buat kali pertama dalam empat tahun, Trump kini berdepan kemungkinan tindak balas domestik terhadap konflik yang beliau gagal hentikan melalui keganasan dan ugutan.
Walaupun Washington mendakwa sedang berunding dengan Iran untuk mencapai perjanjian, Teheran dilihan bersikap dingin, memandang krisis itu sebagai perjuangan penting demi kelangsungan negara.
Kelmarin, Presiden Iran, Masoud Pezeshkian berkata, Teheran mempunyai kehendak untuk menamatkan perang dengan syarat penting dipenuhi, terutama jaminan konflik seumpama itu tidak berulang.
HARAPAN KONFLIK BERAKHIR
Harga minyak mentah Brent jatuh di bawah AS$104 (RM420) seting untuk kali pertama sejak Jumaat, susulan kenyataan Pezeshkian, apabila pasaran bertindak balas terhadap kemungkinan rundingan untuk menamatkan perang.
Trump pada Selasa turut memberitahu NBC News, perang dicetuskannya itu sedang menuju ke penghujung, walaupun beliau tidak menyatakan bagaimana ia akan berlaku.
Namun pada hari sama, letupan didengar di ibu negara Arab Saudi, Riyadh, manakala Teheran menyerang sebuah kapal tangki minyak Kuwait di Teluk.
Serangan AS turut menjejaskan bandar Isfahan, lokasi tapak nuklear utama Iran, menghasilkan bola api besar di langit. AS mengumumkan penggunaan pengebom B-52 untuk menyerang sasaran di Iran, menunjukkan tahap keunggulan udaranya yang membolehkan tentera beroperasi tanpa risiko juruterbang ditembak jatuh.
Konflik itu meragut lebih 3,000 nyawa, sementara kerajaan di luar rantau fokus terhadap kesan ekonomi pada waktu inflasi tinggi, pertumbuhan perlahan dan krisis kos sara hidup di banyak negara.
Sementara itu, Paus Leo XIV menyuarakan harapan konflik itu akan berakhir menjelang hujung minggu ini.
“Saya diberitahu Presiden Trump baru-baru ini menyatakan beliau ingin menamatkan perang. Saya berharap beliau sedang mencari jalan keluar,” katanya kepada wartawan.
Paus kelahiran AS itu menyeru semua pemimpin dunia untuk mengenal pasti ‘langkah mengurangkan keganasan’ supaya kedamaian, terutama pada waktu Paskah, dapat dicapai semua pihak.
Semasa menghadiri acara di Dataran St. Peter hujung minggu lalu, Paus Leo turut menegaskan Tuhan akan mengabaikan doa pemimpin yang mengisytiharkan perang dan mempunyai ‘tangan dipenuhi darah’, dalam teguran jelas terhadap pentadbiran Trump.
Pakistan dan China juga mengeluarkan rancangan lima bahagian bersama untuk merundingkan penghujung perang dan membuka semula Selat Hormuz.
Bagaimanapun, tidak jelas sama ada cadangan itu berkait dengan mesej diplomatik terbaharu AS kepada Iran melalui Pakistan, yang mempunyai hubungan baik dengan kedua-dua negara.










