Topi emas 2,500 tahun ditemukan selepas dicuri - Utusan Malaysia

Topi emas 2,500 tahun ditemukan selepas dicuri

TOPI emas berusia 2,500 tahun ditemukan semula. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMSTERDAM: Sebuah topi emas berusia 2,500 tahun yang tidak ternilai harganya dari Romania, yang telah dicuri tahun lalu di Belanda, telah berjaya ditemukan semula, kata detektif seni Belanda, Arthur Brand, kepada AFP pada Khamis.

“Ini sesuatu yang menakjubkan. Ini berita terbaik yang boleh kami terima,” kata Brand, sambil mengesahkan bahawa Topi Cotofenesti yang hilang itu telah ditemui.

Sekumpulan perompak menggunakan bom bunga api untuk memecah masuk ke Muzium Drents di utara Belanda pada Januari 2025, sebelum memecahkan kotak pameran.

Mereka melarikan topi emas di tapak arkeologi Cotofenesti dari abad ke-5 Sebelum Masihi dan tiga gelang emas.

Tiga lelaki sedang dibicarakan atas kes kecurian itu. Namun, kebanyakannya berdiam diri di mahkamah.

Brand berkata, beliau dan pihak polis telah menggunakan rangkaian hubungan mereka untuk memujuk suspek yang didakwa menyerahkan topi itu sebagai pertukaran kepada hukuman yang lebih ringan.

“Kami agak pasti ia tidak dileburkan kerana hanya terdapat tempoh empat hari antara rompakan dan penangkapan,” kata Brand.

“Ia adalah satu kerja yang hebat oleh polis Belanda,” tambahnya.

Pihak berkuasa Belanda telah membuat beberapa percubaan untuk meyakinkan suspek supaya memberitahu lokasi harta tersebut disembunyikan.

Polis menawarkan untuk mengurangkan separuh hukuman seorang suspek jika dia mendedahkan lokasi topi  itu.

Seorang pegawai penyamar yang berpura-pura sebagai dalang jenayah dilaporkan menawarkan seorang lagi suspek sebanyak 400,000 euro (RM1.8 juta) untuk memberitahu di mana hasil rompakan itu disembunyikan.

Polis juga menawarkan ganjaran 100,000 euro (RM465,000) bagi maklumat yang membawa kepada penemuan semula topi tersebut. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN