LONDON: Sebuah astrolab tembaga luar biasa dikenali sebagai ‘komputer astronomi’ mudah alih dari abad ke-17 yang pernah menjadi sebahagian koleksi diraja di Jaipur, India akan dilelong oleh Sotheby’s di London minggu ini.
Astrolab itu diketahui pernah dimiliki oleh Maharaja Sawai Man Singh II dari Jaipur sebelum diwariskan kepada isterinya, Maharani Gayatri Devi yang terkenal sebagai antara wanita paling anggun pada zamannya. Ia kemudian berpindah ke koleksi persendirian semasa hayat beliau.
Astrolab ialah cakera logam dengan komponen berlapis yang saling berkait, digunakan secara tradisional untuk menentukan masa, memetakan bintang, menentukan arah Mekah serta pergerakan langit.
“Ia pada asasnya merupakan unjuran dua dimensi bagi alam semesta tiga dimensi. Saya ibaratkan ia seperti telefon pintar moden kerana begitu banyak fungsi yang boleh dilakukan.
“Ia bukan sahaja besar, cantik dan berat, malah sangat tepat sehingga boleh memberikan darjah ketinggian objek cakerawala dengan tepat,” kata Pakar Pusat Sejarah Sains, Perubatan dan Teknologi Universiti Oxford, Federica Gigante dipetik BBC.
Menurutnya, alat itu boleh digunakan untuk mengira waktu matahari terbit dan terbenam, ketinggian bangunan, kedalaman telaga, jarak, malah meramal masa depan selain digunakan untuk membuat horoskop.
Astrolab pertama kali dibangunkan di Yunani purba pada abad ke-2 sebelum Masihi dan tersebar ke dunia Islam menjelang abad ke-8. Dalam tempoh beberapa abad berikutnya, pusat pengeluaran berkembang di Iraq, Iran, Afrika Utara dan al-Andalus atau Sepanyol kini.
Instrumen khusus ini dihasilkan pada awal abad ke-17 di Lahore ketika bandar itu menjadi pusat utama pembuatan astrolab dalam dunia Mughal. Ia dibuat oleh dua beradik, Qa’im Muhammad dan Muhammad Muqim untuk seorang bangsawan Mughal.
Hanya dua astrolab diketahui dihasilkan bersama oleh kedua-dua beradik tersebut, satu lagi yang lebih kecil kini disimpan di muzium di Iraq.
Menurut Ketua Jabatan Seni Islam dan India Sotheby’s, Benedict Carter, astrolab seberat 8.2 kilogram, dengan diameter hampir 30 sentimeter (sm) dan setinggi kira-kira 46 sm itu hampir empat kali lebih besar berbanding astrolab biasa dari India abad ke-17.
“Ia juga mempunyai elemen silang budaya yang menarik. Penunjuk bintangnya memaparkan nama dalam bahasa Parsi serta padanan Sanskrit yang diukir dalam tulisan Devanagari,” katanya.
Menurut Sotheby’s, alat ini mengandungi 94 bandar yang diukir bersama koordinat longitud dan latitud masing-masing, serta 38 penunjuk bintang yang dihubungkan dengan corak hiasan flora yang rumit.
Tahap perincian ini mencerminkan kehalusan luar biasa ‘Sekolah Lahore’, di mana ketepatan teknikal, fungsi dan keindahan seni digabungkan, menjadikannya berbeza daripada astrolab terdahulu di Asia Barat yang lebih menumpukan fungsi semata-mata.
Objek ini juga menggambarkan minat mendalam istana Mughal terhadap perkembangan ilmu astronomi dan astrologi.
Sotheby’s menjangkakan keadaan objek yang masih terpelihara serta asal-usul dirajanya akan menarik minat tinggi daripada muzium dan pengumpul, dengan anggaran harga lelongan antara 1.5 juta hingga 2.5 juta pound (RM8.04 juta hingga RM13.41 juta).










