WASHINGTON: Ribuan penduduk di Oklahoma kini berada dalam keadaan berjaga-jaga selepas beberapa puting beliung gergasi melanda negeri itu pada malam Khamis, sehingga mengakibatkan banyak rumah kediaman musnah dan kenderaan diterbangkan angin.
Setakat ini, jutaan penduduk merentasi empat negeri di Amerika Syarikat (AS) masih diletakkan di bawah amaran puting beliung. Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) mengesahkan salah satu puting beliung dikesan melanda bandar Braman, berhampiran sempadan Kansas kira-kira pukul 7.30 malam waktu tempatan.
Keadaan menjadi lebih cemas apabila sistem siren amaran di bandar itu gagal berfungsi akibat gangguan bekalan elektrik, menyebabkan penduduk tidak sempat bersiap sedia sebelum ribut melanda.
Kira-kira sejam kemudian, satu lagi puting beliung dikesan di tenggara Enid, sebuah bandar yang dihuni kira-kira 50,000 orang.
Rakaman lain yang dikongsi dalam talian menunjukkan salah satu puting beliung besar mengangkat sebuah kenderaan ke dalam pusaran anginnya. Satu lagi tornado menghampiri rumah-rumah di Pangkalan Tentera Udara Vance pada malam Khamis.
Walaupun pangkalan tersebut hanya mengalami kerosakan kecil, kawasan perumahan Grayridge di bahagian timur dilaporkan mengalami kerosakan teruk dengan banyak rumah musnah sama sekali.
Pasukan pemantau ribut melaporkan pusaran angin gergasi itu berada di daratan selama kira-kira 40 minit sebelum reda.
Secara keseluruhan, sebanyak 17 kejadian puting beliung dilaporkan berlaku antara Oklahoma dan Iowa pada malam tersebut, merangkumi kawasan dari Texas hingga ke Great Lakes.
Pihak berkuasa memberi amaran bahawa ribut ini sangat berbahaya dan berupaya menghasilkan hujan batu bersaiz bola golf. Penduduk dinasihatkan untuk segera berlindung di dalam ruang bawah tanah atau bilik paling selamat di tingkat bawah bangunan yang kukuh.
Bagi mereka yang berada di luar rumah atau di dalam kenderaan, pihak berkuasa menggesa mereka segera mencari perlindungan teguh bagi mengelakkan daripada terkena serpihan objek yang diterbangkan angin.
Setakat ini, pegawai pengurusan kecemasan di Enid melaporkan kira-kira 12 orang mengalami kecederaan, namun tiada sebarang kehilangan nyawa dilaporkan buat masa ini. – AGENSI











