Puluhan veteran tentera AS bantah perang Iran ditahan di Capitol

Puluhan veteran tentera AS bantah perang Iran ditahan di Capitol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Puluhan veteran dan ahli keluarga tentera yang membantah perang Iran ditahan oleh Polis Capitol Amerika Syarikat (AS) selepas mereka menceroboh dan menduduki Bangunan Pejabat Dewan Cannon di Washington.

Sekurang-kurangnya 62 orang ditahan semasa demonstrasi tersebut, yang dianjurkan oleh beberapa kumpulan veteran termasuk About Face, Center on Conscience and War (CCW), Veterans For Peace, Common Defense, Fayetteville Resistance Coalition, Military Families Speak Out dan 50501 Veterans.

Para penunjuk perasaan berdiri di tengah bangunan sambil memegang bunga tulip merah yang bertujuan memperingati rakyat Iran yang terbunuh akibat serangan AS serta memegang sepanduk bertulis ‘Hentikan Perang ke atas Iran’.

Mereka turut mengadakan upacara lipatan bendera yang bertujuan memperingati 13 anggota tentera AS yang telah terkorban setakat ini dalam perang tersebut, sambil melaungkan slogan anti-perang sebelum ditangkap dan diikat  oleh polis, menurut video yang dimuat naik di media sosial.

Dalam satu kenyataan, CCW berkata, para penunjuk perasaan menuntut Speaker Dewan Perwakilan, Mike Johnson bertemu mereka untuk menerima bendera yang dilipat serta berjanji tidak meneruskan pembiayaan perang yang bermula pada 28 Februari.

Polis Capitol AS tidak segera memberikan komen mengenai jumlah sebenar tangkapan.

Antara yang ditahan ialah Pengarah Eksekutif CCW, Mike Prysner, seorang veteran Perang Iraq yang menyifatkan konflik di Asia Barat kini sudah sangat tidak popular dan krisis terburuk pentadbiran Presiden, Donald Trump.

“Perang yang saya sertai dahulu telah meragut ribuan nyawa rakyat AS dan sejuta rakyat Iraq secara sia-sia. Seperti veteran lain di sini hari ini, saya telah menghabiskan dua dekad berharap dapat kembali ke masa lalu dan menolak untuk pergi. Anggota tentera mempunyai peluang itu sekarang,” kata Prysner dalam kenyataan sebelum ditahan.

Beliau turut menegaskan penolakan atas dasar kepercayaan adalah hak undang-undang anggota tentera dan terdapat kaunselor profesional yang akan membantu memastikan mereka tidak dihantar ke medan perang.

Sebanyak 415 anggota tentera AS turut cedera sejak permulaan Operasi Epic Fury terhadap Iran, menurut data Jabatan Pertahanan yang dikeluarkan pada Isnin.

Ketegangan di rantau Asia Baratsemakin meningkat apabila Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan bersama ke atas Iran yang sudah mengorbankan lebih daripada 1,300 orang, manakala Teheran membalas dengan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan Israel serta negara-negara serantau yang menempatkan aset AS.

Gencatan senjata selama dua minggu antara AS, Israel dan Iran dijadualkan tamat pada Rabu, dengan Trump menolak lanjutan serta mendesak Iran menandatangani perjanjian dengan Washington untuk menyekat keupayaan nuklearnya.

Trump turut memperbaharui ancaman terhadap Iran, dengan berkata pada hujung minggu bahawa seluruh negara itu akan dimusnahkan jika tiada perjanjian dicapai.

Perbincangan berisiko tinggi antara AS dan Iran dijangka berlangsung pada Rabu di Islamabad, namun pihak Iran masih belum mengesahkan penyertaan secara rasmi.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×