SEOUL: Presiden Korea Selatan, Lee Jae-myung menyatakan rasa kesal terhadap Korea Utara berhubung pencerobohan dron yang menurutnya dilakukan oleh seorang individu dari Seoul tanpa kelulusan kerajaan.
Beliau turut menekankan komitmen Seoul untuk mencegah insiden seumpama itu pada masa depan.
“Walaupun bukan niat kerajaan kami, kami menyatakan rasa kesal kepada Korea Utara kerana ketegangan ketenteraan yang tidak perlu telah tercetus akibat tindakan tidak bertanggungjawab dan sembrono oleh beberapa individu,” kata Jae-myung dalam mesyuarat Kabinet.
Jae-myung berkata, siasatan pihak berkuasa Korea Selatan mendapati seorang pegawai Perkhidmatan Perisikan Negara dan seorang askar yang masih bertugas terlibat dalam kes itu, sambil menyatakan Perlembagaan melarang tindakan provokasi individu terhadap Korea Utara.
Pyongyang pada Januari berkata, dron yang dihantar dari Korea Selatan telah menceroboh ruang udara mereka. Ia menuduh Seoul melakukan provokasi serius dan menyatakan sudah menembak jatuh dron tersebut.
Korea Selatan menafikan sebarang penglibatan ketenteraan dan memulakan siasatan bersama tentera dan polis.
Siasatan itu membawa kepada pendakwaan seorang lelaki Korea Selatan berusia 30-an atas dakwaan melanggar undang-undang penerbangan dan keselamatan negara berhubung penerbangan dron tanpa kebenaran.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, Korea Utara menganggap Korea Selatan sebagai negara musuh utama dan menolak usaha hubungan atau dialog yang cuba dijalankan oleh pentadbiran Jae-myung. – AGENSI










