NEW YORK: Perang yang berlarutan selama sebulan di Asia Barat berpotensi menghapuskan keseluruhan pertumbuhan ekonomi yang dicapai negara-negara Arab tahun lalu, selain dijangka mencetuskan pengecutan ekonomi yang ketara di Iran, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Beberapa laporan oleh Program Pembangunan PBB (UNDP) dikeluarkan pada minggu kelima konflik, ketika semua pihak terus bertukar ancaman walaupun Amerika Syarikat (AS) mendakwa rundingan masih berlangsung.
“Peningkatan ketenteraan terkini di Asia Barat mendedahkan kelemahan struktur dalam rantau negara-negara Arab,” kata agensi itu, sambil menambah keluaran dalam negara kasar (KDNK) dianggarkan menyusut sekitar 3.7 hingga 6.0 peratus di seluruh rantau tersebut.
Penyusutan itu bersamaan kerugian KDNK antara AS$120 bilion hingga AS$194 bilion (RM484 bilion hingga RM782 bilion), melebihi keseluruhan pertumbuhan KDNK serantau yang dicapai sepanjang 2025.
Bagi Iran, agensi itu menyatakan konflik berkenaan berkemungkinan mencetuskan pengecutan ekonomi yang mendadak, dengan simulasi ekonomi menunjukkan pertumbuhan KDNK sebenar boleh merosot antara 8.8 hingga 10.4 mata peratusan berbanding senario tanpa perang.
Anggaran turut menunjukkan antara 3.5 juta hingga 4.1 juta rakyat Iran berisiko jatuh ke bawah garis kemiskinan, sekali gus berpotensi meningkatkan kadar kemiskinan kepada 41 peratus.-AFP










