WASHINGTON: Iran telah menyebabkan kerosakan lebih meluas terhadap pangkalan dan peralatan tentera Amerika Syarikat (AS) di Asia Barat sejak bermulanya serangan Amerika bersama Israel ke atas Iran pada 28 Februari.
Laporan NBC News itu memetik sumber menyatakan bahawa kerosakan akibat serangan balas Iran ke atas pangkalan tentera AS di tujuh negara Asia Barat adalah jauh lebih teruk daripada yang didedahkan kepada umum dan dijangka menelan kos berbilion dolar untuk dibaiki.
Iran telah menyerang puluhan sasaran termasuk gudang, ibu pejabat arahan, hangar pesawat, infrastruktur komunikasi satelit, landasan, sistem radar berteknologi tinggi dan puluhan pesawat, menurut laporan tersebut.
Jabatan Pertahanan atau Pentagon tidak memperincikan secara terbuka tahap kerosakan terhadap pangkalan tentera AS, menurut laporan itu.
Markas Pusat AS enggan memberi komen mengenai penilaian kerosakan pertempuran.
Menurut laporan tersebut, beberapa ahli Kongres AS daripada Parti Republikan secara peribadi menyatakan rasa tidak puas hati terhadap pegawai kanan Pentagon kerana enggan memberikan maklumat tentang tahap kerosakan atau anggaran kos pembaikan.
“Tiada siapa tahu apa-apa,” kata seorang pembantu Kongres yang dipetik NBC News.
“Kami sudah bertanya selama berminggu-minggu tetapi tidak mendapat butiran, walaupun Pentagon sedang meminta bajet tertinggi dalam sejarah,” tambahnya.
Laporan itu menyebut bahawa kerosakan dan kos pembaikan boleh mencetuskan semula perdebatan mengenai keperluan mengekalkan pangkalan tentera AS yang begitu hampir dengan musuh seperti Iran. – AGENSI










