WASHINGTON: Seorang lelaki warga Amerika Syarikat (AS) telah ditahan kerana didakwa mengugut untuk membunuh Presiden Donald Trump, kata pegawai persekutuan pada Rabu.
Beliau turut memperincikan beberapa hantaran di Facebook yang menyasarkan Trump.
Andrew Emerald, 45, didakwa telah menulis lapan mesej di platform media sosial itu tahun lalu yang mengandungi ugutan untuk mencederakan dan membunuh Trump, yang pernah terkena kesan peluru daripada cubaan membunuhnya pada 2024 ketika beliau berkempen untuk jawatan presiden.
“Sama ada Trump mati dan ditanam menjelang 2026 atau saya akan memburunya serta memastikan beliau berada di sana,” Emerald didakwa menulis dalam satu hantaran pada Mei 2025, menurut kenyataan media Jabatan Kehakiman AS.
Dalam satu lagi hantaran yang mengandungi kata-kata kesat pada bulan yang sama, dia juga didakwa mengancam untuk menyerang resort Trump di Florida.
“Saya akan pastikan kamu berada di Mar-a-Lago (resort milik Trump) ketika saya membakarnya hingga musnah,” tulis Emerald.
Satu dokumen mahkamah Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) menyatakan bahawa apabila pihak berkuasa melaksanakan waran tangkap di rumahnya di Massachusetts, Emerald enggan keluar, kelihatan mengacukan sebilah pedang logam panjang dan memberitahu ejen bahawa mereka perlu menembaknya.
Lelaki itu akhirnya keluar dari kediaman itu secara aman selepas seorang perunding krisis dan anggota polis tempatan berjaya memujuknya, menurut dokumen tersebut.
Gambar beberapa bilah pedang dan senjata tajam yang ditemui di dalam rumah Emerald turut dikongsi oleh FBI.
Dalam satu hantaran Facebook, Emerald didakwa menulis: “Saya bercadang pergi ke Washington, DC dengan pedang saya dan membunuh Trump serta seramai mungkin pengganas domestik yang beliau galakkan.”
Pihak berkuasa sebelum ini pernah menyoal siasat Emerald pada tahun 2018, semasa penggal pertama Trump, berhubung kemungkinan ugutan untuk menembak presiden, menurut dokumen mahkamah.
Emerald ditahan selepas didakwa pada 19 Mac atas lapan pertuduhan penghantaran komunikasi berunsur ugutan merentas negeri, satu kesalahan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga lima tahun. – AFP










