OTSUCHI: Lebih 1,000 anggota bomba di utara Jepun bertungkus-lumus mengawal dua kebakaran hutan yang berlarutan selama empat hari berturut-turut, ketika api semakin menghampiri kawasan perumahan dan memaksa lebih 3,000 penduduk dipindahkan.
Menurut Reuters, kawasan terjejas secara keseluruhan kini menjadi antara yang ketiga terbesar pernah direkodkan di Jepun, selepas kejadian kebakaran hutan dilaporkan meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Kebakaran pertama bermula pada Rabu di kawasan pergunungan sebelum satu lagi kebakaran berhampiran mengancam kawasan kediaman di bandar Otsuchi, wilayah Iwate.
Keadaan muka bumi berbukit, cuaca kering serta angin kencang menyukarkan usaha memadam api yang marak, menurut pegawai jabatan bomba.
Sehingga Sabtu, kebakaran memusnahkan kira-kira 730 hektar kawasan, menyebabkan arahan pemindahan dikeluarkan kepada 1,541 isi rumah melibatkan 3,233 penduduk, kira-kira satu pertiga daripada populasi Otsuchi.
Bandar itu masih dibayangi kenangan bencana besar gempa bumi dan tsunami pada Mac 2011, yang meragut hampir satu persepuluh penduduknya.
“Malah ketika bencana 2011, kawasan ini tidak terbakar. Ada tsunami tetapi tiada kebakaran di sini.
“Saya terpaksa berjaga sepanjang malam melihat cahaya merah api dan sudah mengemas buku akaun bank, kad perubatan serta kura-kura peliharaan saya,” kata bekas jururawat yang dipindahkan sejak Jumaat, Taeko Kajiki, 76.
Operasi memadam api turut dibantu helikopter dari beberapa wilayah serta Pasukan Pertahanan Jepun (JSDF) yang melakukan semburan air dari Udara.
“Tanah terlalu kering, kebakaran mudah tercetus semula. Kami padam satu, kemudian bergegas ke lokasi lain berulang kali,” kata anggota bomba sukarela, Masashi Kikuchi, 37, yang sebelum ini kehilangan rumah akibat tsunami 2011.
Setakat ini, lapan bangunan termasuk sebuah rumah kediaman dilaporkan rosak atau musnah, namun tiada kecederaan atau kematian direkodkan, menurut pihak berkuasa.
“Saya tidak mahu orang kehilangan rumah sekali lagi selepas pernah kehilangannya akibat tsunami,” kata Datuk Bandar Otsuchi, Kozo Hirano.
Beliau berkata, pihak berkuasa tempatan akan mendapatkan bantuan tambahan serta menyediakan kemudahan seperti mandian air panas bagi mengurangkan tekanan penduduk.
Walaupun Jepun secara relatifnya kurang mengalami kebakaran hutan berbanding negara lain, perubahan iklim dilihat meningkatkan kekerapan kejadian itu, terutama pada awal musim bunga yang panas, kering dan berangin.
Agensi Meteorologi Jepun memaklumkan tiada hujan diramalkan di kawasan tersebut sepanjang minggu akan datang.
Menurut data rasmi, keluasan kebakaran di Otsuchi kini hanya diatasi oleh kebakaran besar di Ofunato pada 2025 yang memusnahkan sekitar 3,370 hektar, serta kebakaran Kushiro pada 1992 yang melibatkan kira-kira 1,030 hektar.









