TOKYO: Jepun berjanji menyediakan sokongan kewangan sebanyak AS$10 bilion (RM39.54 bilion) kepada ekonomi Asia Tenggara ketika krisis di Asia Barat mengancam perolehan Tokyo terhadap peralatan perubatan penting yang berasaskan minyak.
Inisiatif yang dinamakan ‘Power Asia’ itu akan menyaksikan Jepun menyumbang 1.6 trilion yen kepada negara-negara Asia Tenggara bagi memperkukuh rantaian bekalan tenaga serta membantu mereka mendapatkan bekalan minyak mentah dan produk petroleum dengan lebih baik, selain memperluas simpanan stok.
Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi mengumumkan inisiatif tersebut selepas sidang kemuncak secara dalam talian bersama beberapa negara anggota ASEAN dalam rangka kerja yang dikenali sebagai Asia Zero Emission Community (AZEC) Plus.
“Jepun mempunyai hubungan yang sangat saling berkait dengan setiap negara Asia melalui rantaian bekalan dan saling bergantung antara satu sama lain.
“Kami bergantung kepada bekalan dari negara-negara Asia untuk barangan perubatan seperti peralatan yang digunakan oleh pesakit dialisis serta bekas sisa cecair dan sarung tangan yang diperlukan untuk prosedur pembedahan.
“Bersama negara-negara Asia, kami akan berusaha membina rangka kerja tenaga, mineral kritikal dan rantaian bekalan yang berdaya tahan supaya seluruh Asia menjadi lebih kukuh dan makmur,” katanya kepada wartawan di Tokyo.
Beliau menafikan kerjasama baharu itu akan memberi sebarang kesan negatif terhadap bekalan minyak domestik Jepun.
Asia amat terdedah kepada gangguan bekalan tenaga yang berpunca daripada sekatan di Selat Hormuz, memandangkan hampir 90 peratus minyak dan gas yang melalui laluan perairan penting itu menuju ke rantau ini.
Kementerian Luar Jepun berkata, bantuan kewangan itu bersamaan dengan jumlah import minyak mentah setahun oleh negara-negara ASEAN.
Tambahnya, inisiatif tersebut disambut baik oleh pemimpin yang menghadiri mesyuarat itu termasuk dari Filipina, Malaysia, Singapura, Thailand, Vietnam, Bangladesh dan Korea Selatan dan pembiayaan projek akan diperoleh daripada pelbagai sumber.
Ia termasuk daripada institusi yang disokong kerajaan seperti Bank Jepun untuk Kerjasama Antarabangsa, Insurans Eksport dan Pelaburan Jepun, Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun, serta Bank Pembangunan Asia.
Walaupun Takaichi menggesa orang ramai supaya bertenang dan menegaskan tiada gangguan segera akan berlaku, kebimbangan masih wujud bahawa kekurangan nafta boleh memberi tekanan tambahan kepada sistem kesihatan negara itu, yang sudah pun terbeban akibat populasi yang semakin menua.
Terdapat juga kebimbangan di seluruh Asia Tenggara yang terjejas teruk oleh kenaikan mendadak harga minyak.
Kerajaan-kerajaan telah menggesa rakyat untuk berkongsi kenderaan serta mengurangkan penggunaan penghawa dingin dalam usaha menjimatkan tenaga dengan Filipina mengisytiharkan darurat tenaga negara.
Pada Rabu, dalam sidang kemuncak sama yang dianjurkan oleh Jepun, Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. menyeru ASEAN supaya mengaktifkan perjanjian perkongsian bahan api mereka.
“Tiada satu negara pun di Asia mampu melindungi dirinya daripada kejutan rantaian bekalan sebesar ini dengan bertindak secara bersendirian,” katanya.-AFP/AGENSI










