KYIV: Ukraine dan Israel pada Selasa terlibat dalam pertikaian diplomatik berhubung dakwaan bahawa Israel menerima penghantaran bijirin yang menurut Kyiv telah dicuri oleh Russia.
Menurut Kyiv, bijirin itu dicuri dari wilayah Ukraine yang diduduki Russia.
Sebagai salah satu pengeluar bijirin terbesar dunia, Ukraine berulang kali menuduh Russia mengeksport produk pertanian secara haram dari wilayah yang ditawan sejak pencerobohan pada Februari 2022.
“Sebuah lagi kapal yang membawa bijirin seperti itu telah tiba di sebuah pelabuhan di Israel dan sedang bersiap untuk memunggah,” tulis Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky dalam satu kenyataan di media sosial.
“Pihak berkuasa Israel tidak mungkin tidak mengetahui mana kapal yang tiba di pelabuhan negara itu dan apa kargo yang dibawanya,” tambahnya.
Israel berkata, Kyiv tidak mengemukakan bukti untuk menyokong dakwaan tersebut dan menafikan bahawa kapal itu telah tiba di pelabuhan Haifa.
“Kerajaan Ukraine tidak mengemukakan permintaan bantuan undang-undang dan juga tidak memberikan bukti bagi dakwaan mereka,” kata Menteri Luar Israel, Gideon Saar dalam sidang media.
“Kapal itu belum memasuki pelabuhan dan masih belum mengemukakan dokumennya,” katanya.
“Tidak mungkin untuk mengesahkan kebenaran dakwaan Ukraine mengenai pemalsuan bil muatan,” tambah Saar, merujuk kepada dokumen yang menunjukkan butiran barangan diangkut oleh kapal.
Mengkritik Ukraine atas apa yang beliau sifatkan sebagai diplomasi X , Saar berkata: “Jika anda mempunyai sebarang bukti kecurian, kemukakannya melalui saluran yang sesuai.”
Ukraine mendakwa Russia mencuri lebih dua juta tan bijirin dari wilayah yang diduduki pada 2025.
Ia berkata, telah menjejaki penghantaran ke Afrika, Asia, Asia Barat dan Eropah.
Kyiv telah memanggil duta Israel pada Selasa untuk membantah penghantaran yang didakwa itu.
Russia mendakwa telah menduduki kawasan luas di selatan dan timur Ukraine, termasuk pelabuhan eksport utama di Laut Hitam.
Jurucakap Moscow, Dmitry Peskov berkata pada Selasa bahawa pertikaian antara Israel dan Ukraine adalah perkara yang perlu diselesaikan oleh kedua-dua negara dan tidak mengulas mengenai dakwaan tersebut.
“Kami lebih memilih untuk tidak mengulas perkara ini atau terlibat dalam isu ini,” katanya kepada wartawan, termasuk AFP, dalam satu taklimat. – AFP










