TEL AVIV: Kementerian Pertahanan Israel telah menempah bekalan peluru berpandu dan bom udara bernilai lebih AS$200 juta (RM793 juta) daripada syarikat Elbit Systems sebagai persediaan awal untuk menghadapi peperangan atau konflik besar bagi tempoh 10 tahun akan datang.
Kementerian itu dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Direktorat Perolehan Pertahanan telah membuat tempahan bernilai lebih 600 juta shekel (RM796 juta) untuk munisi yang dihasilkan oleh Elbit Systems.
Perjanjian itu bertujuan untuk memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi senario pertempuran jangka pendek dan persediaan bagi era peperangan yang dijangka berlarutan selama sedekad, menurut kementerian itu lagi.
Tambahnya, proses pengeluaran akan dijalankan di kemudahan Elbit Systems di seluruh Israel.
Menteri Pertahanan, Israel Katz berkata, perjanjian itu adalah langkah berterusan untuk memperkukuh kemerdekaan persenjataan negara berkenaan.
“Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mesti mempunyai kelengkapan pada setiap masa untuk beroperasi dengan kekuatan, kepantasan dan tanpa bergantung kepada pihak luar,” kata beliau mengenai perjanjian tersebut.
Israel terlibat dalam peperangan di pelbagai negara termasuk di Gaza, Lubnan, Iran dan Syria sejak Oktober 2023.
Pada masa ini, Tel Aviv sedang mematuhi gencatan senjata dengan Lubnan yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump minggu lalu.
Pada Selasa, Trump turut melanjutkan gencatan senjata dalam peperangan AS-Israel dengan Iran di tengah-tengah usaha untuk mengadakan rundingan pusingan kedua antara Washington dan Teheran bagi menyelesaikan konflik berkenaan.
Gencatan senjata juga telah dilaksanakan di Gaza sejak Oktober 2025 meskipun terdapat laporan mengenai pelanggaran berterusan oleh pihak Israel. – AGENSI










