TEHERAN: Iran melancarkan peluru berpandu ke seluruh Asia Barat ketika ibu negaranya dilanda letupan ekoran serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel.
Kedua-dua negara itu turut menyerang depot peluru berpandu di Isfahan dengan bom penembus kubu bawah tanah seberat hampir 1,000 kilogram (kg)
Semalam, Presiden AS, Donald Trump mengancam menyerang hab eksport minyak utama, stesen janakuasa dan loji penyahgaraman Iran.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pula mendakwa lebih separuh objektif ketenteraannya sudah dicapai termasuk memusnahkan kilang industri Iran. Beliau mendakwa hampir menamatkan industri senjata negara itu.
Namun, Netanyahu enggan menetapkan tempoh masa bagi operasi yang mencetuskan perang serantau itu yang bermula 28 Februari lalu.
BAITULMUQADDIS
Ketika siren amaran berbunyi di Baitulmuqaddis, tentera Israel memaklumkan bertindak balas terhadap puluhan serangan peluru berpandu baharu Iran.
Media tempatan Iran pula melaporkan letupan baharu di Teheran menyebabkan gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan ibu kota.
Tentera Israel turut melaporkan empat lagi askarnya terbunuh dalam pertempuran di selatan Lubnan, di mana konflik mula merebak dan mereka bertempur dengan kumpulan Hizbollah yang disokong Iran.
Sebelum serangan terbaharu ke atas Teheran, Israel mengeluarkan amaran di platform X kepada penduduk di kawasan barat bandar itu memberitahu ia akan menyerang infrastruktur ketenteraan.
Iran pula melancarkan gelombang baharu peluru berpandu ke negara-negara Teluk yang dituduh menjadi pangkalan pelancaran serangan AS.
DUBAI
Sementara itu, di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), empat orang cedera akibat serpihan peluru berpandu yang dipintas.
Dalam pada itu, di Arab Saudi, pihak berkuasa berkata, mereka berjaya memintas lapan peluru berpandu balistik, beberapa jam selepas diplomat tertinggi Iran menggesa Riyadh ‘mengusir tentera AS’.
AS SERANG DEPOT URANIUM IRAN
Trump memberi amaran jika Iran tidak bersetuju dengan perjanjian menamatkan perang, termasuk membuka semula laluan perkapalan penting Selat Hormuz, tentera AS akan memusnahkan semua loji janakuasa, telaga minyak dan Pulau Kharg.
AS melancarkan serangan udara besar-besaran ke atas depot peluru yang dipercayai menyimpan uranium diperkaya di Iran. Bagaimanapun, sebuah kapal tangki minyak besar dilaporkan diserang dron Iran berhampiran Selat Hormuz.
Trump memuat naik video serangan di bandar Isfahan di platform Truth Social, miliknya. Ia menunjukkan letupan besar akibat bom seberat 907 kg. Seorang pegawai AS mengesahkan serangan tersebut menyasarkan kubu bawah tanah.
Serangan itu berlaku ketika Trump mempertimbangkan operasi ketenteraan untuk merampas stok uranium Iran melalui pasukan khas. Data satelit agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) menunjukkan letupan berlaku berhampiran Gunung Soffeh, kawasan yang dipercayai mempunyai kedudukan ketenteraan.
Namun, laporan The Wall Street Journal menyebut Trump juga bersedia menamatkan perang walaupun selat itu kekal sebahagiannya ditutup, yang berpotensi mengukuhkan kawalan Teheran ke atas laluan tersebut.
Media Iran melaporkan pada Selasa bahawa serangan udara telah menyebabkan sebuah loji penyahgaraman air di Pulau Qeshm, terletak di Selat Hormuz yang strategik, tidak lagi beroperasi, walaupun laporan itu tidak menyatakan bila serangan tersebut berlaku.
“Sebuah daripada loji penyahgaraman air di Pulau Qeshm telah disasarkan dan kini tidak dapat beroperasi sepenuhnya, kerana ia tidak mungkin dibaiki dalam jangka masa pendek,” lapor agensi berita ISNA, memetik kenyataan pegawai kementerian kesihatan, Mohsen Farhadi.
SERANGAN
Perkhidmatan kecemasan Israel berkata, lapan orang mengalami kecederaan ringan akibat serpihan bahan letupan yang jatuh di Bnei Brak, berhampiran Tel Aviv.
Sekurang-kurangnya 10 letupan kedengaran di kawasan Baitulmuqaddus selepas pelancaran peluru berpandu berpandu dari Iran dikesan.
Perkhidmatan kecemasan Israel berkata pada Selasa bahawa lapan orang yang mengalami kecederaan ringan telah dipindahkan ke hospital di kawasan Tel Aviv, di mana polis melaporkan serpihan bahan letupan jatuh selepas amaran mengenai peluru berpandu Iran.
Enam daripada mangsa yang cedera dirawat di bandar Bnei Brak, yang majoriti penduduknya terdiri daripada komuniti Yahudi ultra-Ortodoks, menurut Magen David Adom, iaitu organisasi setara dengan Palang Merah di Israel.
Syarikat minyak milik negara Kuwait melaporkan bahawa salah satu kapal tangki minyak mentah gergasinya terbakar di Pelabuhan Dubai selepas serangan Iran secara langsung dan berniat jahat ketika berada di kawasan berlabuh.
MASJID
Televisyen negara melaporkan bahawa bangunan Grand Husseiniya, sebuah dewan untuk perhimpunan syiah dan upacara berkabung, telah rosak susulan serangan musuh pada waktu pagi di Jalan Ferdowsi di bandar Zanjan.
Ia menambah bahawa sebahagian kubah dan menara masjid telah rosak.
Serangan tersebut membunuh empat orang dan mencederakan 26 yang lain di kawasan berkenaan, menurut agensi berita ISNA yang memetik kenyataan timbalan gabenor wilayah, Ali Sadeghi.
Menurut Al-Jazeera, angka awal menunjukkan 1,937 orang terbunuh di Iran. Sekurang-kurangnya 20 orang di Israel terkorban. Seramai 13 anggota tentera AS dan 26 lagi terbunuh di negara-negara Teluk. – AFP/AGENSI










