Iran beri amaran kepada AS - Utusan Malaysia

Iran beri amaran kepada AS

GAMBAR fail Selat Hormuz. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Iran memberi amaran kepada Amerika Syarikat (AS) pada Khamis bahawa sekatan laut yang dikenakan Washington akan gagal, selepas Presiden Donald Trump memberi isyarat bahawa langkah itu boleh diteruskan selama berbulan-bulan, dalam satu konfrontasi yang menggugat pasaran tenaga global.

Harga minyak melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh empat tahun, dengan minyak mentah Brent bagi penghantaran Jun meningkat 7.1 peratus kepada lebih AS$126 (RM500) setong, manakala Presiden Iran, Masoud Pezeshkian memberi amaran bahawa tindakan itu hanya akan terus menggugat kestabilan rantau tersebut.

Amerika mengenakan sekatan ke atas pelabuhan Iran, sementara republik Islam itu terus mengekalkan kawalan ketatnya ke atas Selat Hormuz sejak perang Asia Barat bermula pada Februari.

“Sebarang cubaan untuk mengenakan sekatan atau kawalan maritim adalah bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan ditakdirkan untuk gagal,” kata Pezeshkian dalam satu kenyataan. Beliau turut memberi amaran bahawa sekatan yang bermula pada 13 April itu akan menjadi gangguan kepada kestabilan berkekalan di Teluk Parsi.

Trump dijangka menerima taklimat pada Khamis mengenai pelan baharu bagi kemungkinan tindakan ketenteraan terhadap Iran daripada Ketua Markas Pusat AS (CENTCOM), Laksamana Brad Coope, menurut dua sumber yang mengetahui perancangan AS kepada platform berita Axios.

Minggu ini Trump dilaporkan memberitahu eksekutif-eksekutif minyak dan pegawai keselamatan negara supaya bersedia menghadapi sekatan AS yang berpanjangan bagi memaksa Teheran menamatkan program nuklearnya. 

Sementara itu, CENTCOM berkata dalam hantaran media sosial pada Rabu bahawa ia telah mencapai pencapaian penting selepas berjaya mengalihkan kapal komersial ke-42 yang cuba melanggar sekatan.

Ia berkata, terdapat 41 kapal tangki dengan 69 juta tong minyak yang tidak dapat dijual oleh rejim Iran dan menganggarkan nilainya melebihi AS$6 bilion (RM24 bilion).

Trump berdepan tekanan politik domestik untuk menamatkan perang itu, yang tidak popular walaupun dalam kalangan penyokongnya sendiri, selain meningkatkan kos sara hidup rakyat Amerika dan meresahkan sekutu AS. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×