MANILA: Filipina pada Selasa berkata ia sedang mendapatkan kebenaran daripada Amerika Syarikat (AS) untuk membeli lebih banyak minyak mentah dari Russia.
Permintraan itu dibuat ketika negara itu yang bergantung kepada import berusaha mengukuhkan bekalan bahan api yang semakin berkurangan susulan sekatan di Selat Hormuz.
Satu-satunya kilang penapisan minyak di Filipina berjaya mendapatkan hampir 2.5 juta tong bulan lalu selepas sekurang-kurangnya empat juta tong penghantaran dibatalkan sejak perang AS-Israel ke atas Iran bermula.
Washington bulan lalu telah melonggarkan beberapa sekatan berkaitan perang Russia-Ukraine.
Ia adalah bagi membolehkan negara-negara membeli minyak Russia yang sudah berada di laut sehingga 11 April, bagi menstabilkan pasaran tenaga susulan penutupan efektif Selat Hormuz, laluan penting perdagangan minyak mentah dunia.
“Kami telah berhubung dengan Jabatan Hal Ehwal Luar untuk satu lagi tempoh atau lanjutan penggantungan embargo,” kata Setiausaha Tenaga Filipina, Sharon Garin kepada wartawan.
Beliau menambah bahawa permintaan itu telah disampaikan secara rasmi kepada sekutu keselamatan lama Manila itu.
Walaupun masih belum ada maklum balas daripada Amerika, pihaknya sangat positif untuk mendapatkan tempoh tambahan ini.
“Jika tidak berjaya, kami juga mempunyai pilihan lain.
“Jabatan Tenaga melihat masalah semasa ini bukan sekadar masalah untuk hari ini, minggu depan atau bulan depan. Ia akan menjadi masalah yang berpanjangan,” kata Garin.
Kira-kira 30 peratus import minyak mentah Filipina bergantung kepada bekalan yang perlu melalui selat tersebut.
Selebihnya keperluan bahan api Manila diperoleh daripada penapis minyak di Asia yang juga bergantung kepada minyak mentah dari Asia Barat.
Kekurangan bekalan ini telah menyebabkan harga pam tempatan bagi produk utama seperti diesel meningkat dua kali ganda.
Jika gagal mendapatkan lebih banyak minyak mentah Russia, Garin berkata, Manila akan melihat sumber lain seperti Colombia, AS dan Kanada.
Walaupun negara-negara ini membekalkan jenis minyak mentah yang berbeza, pihaknya masih boleh menggunakan produk ditapis mereka, katanya.
Beliau menambah Manila juga akan mempertimbangkan pembekal yang lebih dekat seperti Brunei dan India.
“Kami mahu membuka ruang bekalan dari Russia tetapi kami juga mahukan lebih banyak pilihan. Kami memerlukan kepelbagaian supaya tidak bergantung kepada hanya satu negara,” ujarnya.
Filipina ketika ini mempunyai bekalan petroleum yang mencukupi untuk kira-kira 50 hari, kata Garin. – AFP










