AS-Israel bunuh kanak-kanak Iran - Utusan Malaysia

AS-Israel bunuh kanak-kanak Iran

PASUKAN penyelamat Israel mengeluarkan mayat dari bawah runtuhan sebuah bangunan kediaman yang musnah akibat serangan peluru berpandu Iran di bandar utara Haifa semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Sekurang-kurangnya 34 orang terbunuh dalam serangan semalaman di Iran ketika Amerika Syarikat (AS) dan Israel semakin agresif melancarkan serangan udara, termasuk membunuh enam kanak-kanak.

Menurut laporan Al Jazeera di lokasi, daripada jumlah itu, sekurang-kurangnya 23 mangsa, termasuk enam kanak-kanak terkorban dalam serangan di ibu negara berkenaan.

Iran turut memberi amaran akan melancarkan serangan balas selepas Presiden AS, Donald Trump, menetapkan tarikh akhir pada Selasa untuk Teheran membuka semula Selat Hormuz. Jika tidak berbuat demikian, serangan lebih dahsyat ke atas loji tenaga dan jambatan Iran akan dilakukan oleh tentera AS.

Iran juga turut memperhebatkan serangan ke atas Israel dengan peluru berpandunya mengenai sebuah bangunan kediaman di Haifa, mengorbankan sekurang-kurangnya dua orang dan mencederakan empat yang lain.

Serangan Iran di rantau Teluk juga berterusan, dengan kemudahan tenaga, loji penyahgaraman air dan kilang minyak dilaporkan menjadi sasaran di Kuwait, selain sebuah fasiliti minyak di Bahrain.

SASARAN AWAM

Pusat Pemerintah Tentera Iran pada Isnin memberi amaran tindak balas yang ‘jauh lebih dahsyat’ sekiranya pihak musuh terus menyerang sasaran awam dalam perang yang bermula pada 28 Februari lalu.

“Jika serangan terhadap sasaran awam berulang, fasa seterusnya operasi serangan dan tindak balas kami akan menjadi lebih dahsyat dan meluas,” kata jurucakap Ibu Pejabat Pusat Khatam al-Anbiya dalam kenyataan yang disiarkan penyiar Iran, IRIB di Telegram.

Amaran itu dibuat selepas Trump mengancam untuk memusnahkan infrastruktur awam Iran, sambil mendesak Teheran ‘tunduk’ kepada tuntutannya bagi membuka semula laluan perkapalan di Teluk.

Beliau membuat ancaman itu  selepas mengumumkan kejayaan menyelamatkan seorang juruterbang yang cedera apabila pesawat pejuangnya terhempas di Iran.

Imej yang disiarkan Iran menunjukkan serpihan pesawat AS. Namun. Teheran tidak menafikan pasukan AS berjaya menyelamatkan askarnya yang berlindung di kawasan pegunungan ketika operasi mencari dilancarkan oleh kedua-dua pihak.

SERANGAN

Israel, Kuwait dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) melaporkan menerima gelombang serangan peluru berpandu dan dron seawal pagi semalam.

TARIKH BARU

Dalam kenyataan susulan, Trump menetapkan tarikh akhir baharu kepada Iran untuk mematuhi tuntutan pembukaan Selat Hormuz iaitu menjelang malam Selasa.

Trump pada Ahad melanjutkan tempoh akhir yang diberikannya kepada Iran sebanyak 24 jam lagi untuk mencapai perjanjian membuka semula Selat Hormuz atau berdepan serangan dahsyat ke atas infrastruktur negara itu.

“Selasa, 8 malam waktu Timur (waktu AS)!” katanya ringkas menerusi platform Truth Social.

Tarikh akhir baharu itu, bersamaan pukul 8 pagi Rabu waktu Malaysia.

HARGA MINYAK MENINGKAT

Harga minyak meningkat pada awal dagangan di Asia, dengan penanda aras AS, West Texas Intermediate (WTI), naik 1.86 peratus kepada AS$113.62 (RM457.59) setong, manakala Brent melepasi AS$110 (RM443) setong.

Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf dalam hantaran di media sosial memberi amaran seluruh rantau itu akan terbakar jika pihak musuh terus mengikut arahan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyerang negaranya..

Sekutu Iran, Russia, turut mengecam ancaman Trump, sehingga meningkatkan lagi ketegangan geopolitik yang semakin meruncing.

Media tempatan melaporkan, beberapa serangan di kawasan kediaman sekitar Teheran pada Isnin, manakala penyiar rasmi negara itu berkata, gangguan bekalan gas berlaku di beberapa kawasan ibu negara selepas serangan ke atas sebuah universiti.

“Serangan mengenai stesen gas Universiti Sharif dan kami kini menghadapi gangguan gas sementara di kawasan Sharif,” kata ketua kawasan kejiranan Daerah 9, dipetik oleh IRIB.

Bagaimanapun, bekalan gas itu telah dipulihkan.

KUWAIT

Sementara itu di Kuwait, serangan Iran terhadap kawasan kediaman di utara negara itu mencederakan enam orang, menurut Kementerian Kesihatan negara itu.

Insiden itu berlaku selepas tentera Kuwat memaklumkan sistem pertahanan udara menangkis peluru berpandu dan dron yang dilancarkan pada Isnin.

“Bahan letupan dan serpihan jatuh di kawasan kediaman di utara negara susulan peningkatan (serangan) Iran. Jumlah mangsa cedera meningkat kepada enam orang dengan tahap kecederaan berbeza-beza,” kata kementerian itu.

BUNUH

Pasukan Pengawal Revolusi Iran memaklumkan menerusi aplikasi Telegram pada Isnin bahawa ketua perisikannya, Mejar Jeneral Majid Khademi telah terbunuh pada waktu subuh dalam serangan AS dan Israel.

Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz berkata, tentera negaranya berada di sebalik serangan itu, sambil menjelaskan bahawa tindakan tersebut adalah sebagai tindak balas terhadap serangan Iran ke atas kawasan awam di Israel.

Menurut Al Jazeera, angka awal korban ialah 1,937 orang di Iran. Sekurang-kurangnya 24 orang di Israel, 13 anggota askar AS dan 27 lagi terbunuh di negara-negara Teluk. – AGENSI/AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN