AS akan sekat laluan ke atas semua pelabuhan Iran - Trump - Utusan Malaysia

AS akan sekat laluan ke atas semua pelabuhan Iran – Trump

AS akan menyekat kapal-kapal yang melalui Selat Hormuz. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat (AS) pada Ahad berkata ia akan memulakan sekatan ke atas semua pelabuhan Iran dalam tempoh beberapa jam.

Sekatan itu akan dimulakan selepas rundingan damai di Pakistan gagal semalam dengan Washington menyalahkan republik Islam itu kerana enggan meninggalkan cita-cita nuklearnya.

Pengumuman itu dibuat walaupun satu gencatan senjata dipersetujui pada Rabu lalu yang bertujuan menghentikan sementara perang selama enam minggu sehingga 22 April dengan ketegangan tertumpu sama ada AS boleh memaksa Iran membuka semula Selat Hormuz yang strategik, satu lagi tuntutan utama dalam rundingan tersebut.

“Sekatan ini akan dikuatkuasakan secara saksama terhadap kapal dari semua negara yang memasuki atau meninggalkan pelabuhan dan kawasan pesisir Iran, termasuk semua pelabuhan Iran di Teluk Arab dan Teluk Oman,” kata Pusat Pemerintah AS dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa ia akan bermula pada pukul 14 GMT (10 malam waktu Malaysia)  Isnin.

Kenyataan itu menyebut bahawa tentera AS tidak akan menghalang kapal yang melalui Selat Hormuz menuju dan dari pelabuhan bukan Iran, dan arahan lanjut untuk pelaut akan diumumkan kemudian.

Pasukan Pengawal Revolusi Iran sebelum ini memberi amaran bahawa mereka mempunyai kawalan penuh terhadap lalu lintas melalui Selat Hormuz dan akan memerangkap mana-mana ‘pencabar dalam pusaran maut’.

Dalam satu hantaran panjang di media sosial, Presiden AS, Donald Trump berkata, matlamatnya adalah untuk membersihkan selat itu daripada periuk api dan membukanya semula kepada semua perkapalan.

Namun, Iran tidak boleh dibenarkan meraih keuntungan daripada mengawal laluan tersebut.

“Berkuat kuasa serta-merta, Tentera Laut Amerika yang terbaik di dunia, akan memulakan proses menyekat  mana-mana dan semua kapal yang cuba memasuki, atau keluar dari Selat Hormuz. 

“Mana-mana rakyat Iran yang melepaskan tembakan ke arah kami, atau kapal-kapal aman, akan dihancurkan,” tulis Trump.

Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf, yang mengetuai delegasi Tehrean di Pakistan berkata selepas pulang dari Pakistan bahawa negara itu tidak akan tunduk kepada sebarang ancaman dari Washington.

Ketua Tentera Laut Iran, Shahram Irani menyifatkan ancaman sekatan Trump sebagai tidak masuk akal.

Teheran telah pun mengehadkan lalu lintas melalui selat tersebut, laluan utama untuk penghantaran minyak dan gas global selain membenarkan beberapa kapal yang berkhidmat untuk negara sahabat seperti China melaluinya. 

Terdapat laporan yang belum disahkan bahawa Iran merancang mengenakan tol.

Tentera AS berkata pada Sabtu bahawa dua kapal perang Tentera Laut telah melalui selat itu untuk memulakan kerja membersihkan periuk api dan memastikan ia menjadi laluan selamat bagi kapal tangki, dakwaan yang dinafikan oleh Teheran.

Agensi berita Fars Iran melaporkan pada Ahad bahawa dua kapal tangki minyak berbendera Pakistan yang menuju ke selat itu telah berpatah balik. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN