WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mengerahkan lebih 15 kapal perang bagi menguatkuasakan sekatan laut menyeluruh yang menyasarkan pelabuhan Iran, menurut laporan The Wall Street Journal (WSJ).
Operasi itu dilancarkan selepas rundingan antara AS dan Iran gagal pada Ahad, dengan tujuan menyekat keupayaan Teheran mengeksport minyak serta mengawal lalu lintas maritim di laluan tenaga paling kritikal di dunia.
Markas Pusat AS dalam notis kepada pelaut yang dilihat Reuters mengesahkan sekatan tersebut mula berkuat kuasa pada 2 petang waktu tempatan pada Isnin.
“Mana-mana kapal yang memasuki atau meninggalkan kawasan yang disekat tanpa kebenaran akan berdepan tindakan pemintasan, dialihkan atau ditahan,” menurut notis markas itu.
Sekatan itu dibuat selepas rundingan antara AS-Israel berakhir tanpa membuahkan hasil di Islamabad, Pakistan Ahad lalu.
Rundingan itu diadakan bagi menamatkan perang Iran selepas AS-Israel menyerang negara itu pada 28 Februari lalu. Ketika ini gencatan senjata selama dua minggu antara AS dengan Iran masih berlangsung sejak 8 April lalu.
PENGUATKUASA BARISAN HADAPAN
Walaupun pihak berkuasa AS tidak mendedahkan senarai penuh kapal yang terlibat, beberapa laporan WSJ dan Business Insider menyatakan armada itu merangkumi kapal pemusnah peluru berpandu seperti USS Michael Murphy dan USS Frank E. Petersen Jr, yang baru-baru ini beroperasi di sekitar Selat Hormuz.
USS Michael Murphy dan USS Frank E. Petersen Jr. merupakan kapal pemusnah peluru berpandu kelas Arleigh Burke Kedua-dua kapal itu dilengkapi senjata berat dalam Tentera Laut AS.
Direka untuk operasi pelbagai peranan, ia menggabungkan sistem radar canggih, peluru berpandu jarak jauh dan keupayaan anti-kapal selam, membolehkannya mengesan ancaman di udara, laut dan bawah permukaan.
Dalam senario seperti di Selat Hormuz, kapal-kapal ini berperanan sebagai penguat kuasa barisan hadapan, mengiringi kapal dagang, memantau laluan perkapalan, memintas trafik mencurigakan dan menyediakan pertahanan udara serta peluru berpandu untuk keseluruhan armada.
Kepantasan, kuasa tembakan dan keupayaan pengawasan menjadikan ia aset penting dalam menguatkuasakan sekatan, khususnya di perairan berisiko tinggi yang terdedah kepada ancaman seperti periuk api, dron dan kapal serangan pantas.
Penganalisis berkata, aset tambahan berkemungkinan merangkumi lebih banyak kapal pemusnah kelas Arleigh Burke, elemen kumpulan serangan kapal pengangkut pesawat serta kapal amfibia yang ditempatkan di seluruh rantau, namun komposisi tepat kekal berubah serta tidak didedahkan.
Tentera Laut AS jarang mendedahkan butiran operasi di zon konflik aktif, menjadikan angka lebih 15 kapal perang sebagai anggaran berdasarkan laporan terkumpul dan analisis pertahanan, bukannya senarai rasmi.
Secara keseluruhan, aset tersebut membolehkan AS memantau kawasan laut, mengawal laluan perkapalan serta menguatkuasakan sekatan secara fizikal melalui operasi pemintasan, pengiring dan pemeriksaan kapal.
Presiden AS, Donald Trump turut memberi amaran bahawa mana-mana bot serangan Iran yang menghampiri sekatan laut tentera laut Amerika di sekitar pelabuhan Iran akan dimusnahkan, walaupun terdapat gesaan antarabangsa supaya gencatan senjata dihormati dan rundingan disambung semula.
“Tentera Laut Iran kini berada di dasar laut, dimusnahkan sepenuhnya — 158 kapal. Apa yang belum kami serang ialah sejumlah kecil apa yang mereka panggil sebagai ‘bot serangan pantas’, kerana kami tidak menganggapnya sebagai ancaman besar,” tulisnya di media sosial miliknya, Truth Social.
KAPAL PATAH BALIK
Selepas AS memulakan sekatan balas di Selat Hormuz, dua kapal tangki minyak yang dikaitkan dengan China dilaporkan berpatah balik ketika cuba keluar dari selat tersebut.
Menurut laporan CBS News dan media lain kelmarin, kedua-dua kapal itu berpatah balik sejurus tentera AS mula menguatkuasakan sekatan.
Dalam pada itu, CBS News, memetik perkhidmatan penjejak kapal MarineTraffic, melaporkan kapal tangki berbendera Malawi, Rich Starry, yang dalam perjalanan ke China, berpatah balik di dalam selat itu kira-kira 20 minit selepas sekatan bermula.
Kapal Ostria, sebuah kapal tangki berkaitan China yang berlayar di bawah bendera Botswana, turut berpatah balik di pintu masuk selat tersebut.
Menurut Reuters dan media lain melaporkan kedua-dua kapal itu berlepas dari pelabuhan Sharjah, Emiriah Arab Bersatu (UAE) menuju ke China sebelum membatalkan perjalanan dan berpatah balik.
Pakar berkata, kapal tersebut kini terperangkap dalam situasi tidak dapat bergerak ke hadapan kerana risiko ditahan oleh AS atau Iran.
Setakat ini, belum berlaku sebarang pertempuran bersenjata antara AS dan Iran di selat tersebut.
Syarikat perkapalan antarabangsa dilaporkan semakin berhati-hati untuk bergerak susulan amaran tentera AS.
PINTU RUNDINGAN MASIH BUKA
Walaupun rundingan antara AS dan Iran di Islamabad berakhir tanpa sebarang kejayaan, 11 sumber yang mengetahui perkembangan itu mendakwa dialog antara kedua-dua pihak masih diteruskan.
Sumber kerajaan Pakistan memaklumkan kepada agensi berita Anadolu, pusingan baharu rundingan ‘peringkat tinggi’ antara AS-Iran dijangka berlangsung di Islamabad dalam masa terdekat.










