TEL AVIV: Perkhidmatan kecemasan Israel berkata, seramai 14 orang, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun, cedera berhampiran Tel Aviv pada Rabu semasa serangan peluru berpandu yang tentera Israel tuduh dilakukan oleh Iran.
Pada hari yang sama, petugas perubatan berkata, mereka sedang merawat seorang lelaki berusia 61 tahun yang cedera akibat ledakan di bahagian utara susulan serangan dari Lubnan, di mana tentera Israel sedang berperang dengan Hizbollah.
Pada pagi Rabu, tentera berkata, mereka telah mengenal pasti satu peluru berpandu yang dilancarkan dari Yemen dan empat peluru berpandu Iran,.
Siren amaran serangan udara turut diaktifkan di sebahagian besar kawasan tengah dan utara Israel.
Perkhidmatan kecemasan Magen David Adom berkata, mereka telah merawat dan memindahkan ke hospital 14 orang yang cedera, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dalam keadaan kritikal akibat serpihan peluru berpandu di bandar tengah Bnei Brak, berhampiran Tel Aviv.
Seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun dan seorang wanita berusia 36 tahun, juga mengalami kecederaan akibat serpihan, manakala 11 lagi mangsa turut cedera.
Polis melaporkan kerosakan di beberapa lokasi di tengah Israel dan berkongsi gambar serpihan peluru berpandu di atas jalan.
Ketika Israel membuat persiapan untuk perayaan Yahudi Passover, yang bermula pada waktu matahari terbenam, siren amaran serangan udara berbunyi berulang kali di kawasan Tel Aviv, pertama pada waktu pagi dan kemudian sekali lagi pada lewat petang.
Dalam pada itu, di satu perhimpunan Seder sementara di sebuah tempat perlindungan bom di Tel Aviv, anggota majlis bandar Hadas Ragolsky berkata: “Kami meminta beberapa restoran dan pembekal berbeza untuk menderma makanan (dan) buah-buahan.”
“Orang ramai di tempat perlindungan ini membina keluarga sendiri dan mereka ingin meraikannya (perayaan Passover) bersama. Ada juga yang tidak dapat pulang ke keluarga mereka di bandar lain kerana peluru berpandu. Hari ini (semalam) sangat gila untuk memandu.”
Gambar AFP dari lokasi lain di Tel Aviv menunjukkan petugas kecemasan berada di satu lagi kawasan serangan peluru berpandu dan sebuah kawah kecil di jalan berhampiran kedutaan Perancis.
Seorang jurugambar AFP melihat pekerja penyelamat membantu beberapa kanak-kanak berhampiran sebuah bangunan, yang bumbungnya rosak akibat terkena serangan di Bnei Brak.
Sheba Hospital di Ramat Gan, sebuah bandar berhampiran Bnei Brak berkata, kanak-kanak perempuan yang cedera pada awal hari itu tiba dalam keadaan sangat kritikal. – AFP










