HANOI: Vietnam menggantung sementara cukai alam sekitar ke atas bahan api bagi menurunkan harga petrol yang melonjak lebih satu perempat pada Jumaat, menurut Kementerian Perdagangan.
Langkah drastik itu diambil susulan gangguan bekalan tenaga global susulan perang di Asia Barat yang semakin meruncing.
Menurut kenyataan kementerian, kadar cukai perlindungan alam sekitar ke atas petrol, diesel dan bahan api penerbangan akan dikurangkan kepada sifar bermula Jumaat sehingga 15 April depan.
“Ini dianggap sebagai langkah segera dan berkesan untuk menstabilkan pasaran petroleum serta menjamin keselamatan tenaga negara di tengah konflik yang semakin memuncak di Selat Hormuz, yang kini mewujudkan ‘kesesakan tenaga terbesar dalam sejarah’,” jelas kementerian itu.
Data yang dikeluarkan menunjukkan langkah tersebut akan menurunkan harga petrol sebanyak kira-kira 26 peratus, manakala harga diesel berkurang lebih 15 peratus selepas kos bahan api melambung tinggi awal minggu ini.
Kerajaan Vietnam turut menurunkan harga petrol RON95 kepada 24,332 dong (RM4.35) seliter pada Jumaat, berbanding 32,957 dong sebelum ini.
Harga diesel pula menurun kepada 35,440 dong (RM6.33) seliter.
Terdahulu, Vietnam menyelaraskan harga bahan api sebanyak dua kali pada Rabu bagi mengurangkan beban pengguna selepas kos diesel meningkat lebih dua kali ganda sejak konflik Asia Barat tercetus hujung bulan lalu.
Lonjakan harga minyak mentah sejak permulaan konflik telah mencetuskan kebimbangan mengenai krisis kekurangan bekalan di seluruh dunia, terutamanya selepas Iran bertindak menutup sebahagian daripada Selat Hormuz yang merupakan laluan perdagangan tenaga paling kritikal di dunia. – AFP











