Undian Senat AS gagal hadkan kuasa perang Trump terhadap Iran

Undian Senat AS gagal hadkan kuasa perang Trump terhadap Iran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Satu resolusi dwipartisan bagi mengehadkan keupayaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk melancarkan perang terhadap Iran gagal di Senat ketika serangan ketenteraan masih berterusan.

Langkah berkaitan kuasa perang itu ditolak dengan undian 53 menyokong berbanding 47 menolak, kebanyakannya mengikut garis parti.

Resolusi tersebut bertujuan menghentikan tindakan ketenteraan AS terhadap Iran tanpa kelulusan Kongres.

Ahli Demokrat berhujah Trump telah mengetepikan peranan Kongres dan memberikan alasan yang berubah-ubah bagi peperangan tersebut.

Kebanyakan ahli Republikan menyekat resolusi itu, namun ada yang menyatakan mereka mungkin mengubah pendirian sekiranya perang semakin meluas dalam beberapa minggu akan datang.

AS dan Israel mula melancarkan serangan ke atas Iran pada hari Sabtu. Republik Islam itu kemudian membalas dengan melancarkan serangan terhadap Israel dan negara-negara sekutu AS di Teluk.

Tanpa sebarang jalan keluar yang jelas setakat ini, Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth berkata, perang tersebut mungkin berlarutan sehingga lapan minggu, hampir dua kali lebih lama daripada tempoh yang disebut oleh Trump pada hujung minggu lalu.

Dua senator bertindak menentang garis parti dalam undian pada hari Rabu. Senator Demokrat dari Pennsylvania, John Fetterman menentang resolusi itu, manakala Senator Republikan dari Kentucky, Rand Paul menyokongnya.

Selain mereka, kebanyakan senator lain mengundi mengikut parti masing-masing.

Senator Republikan sederhana dari Maine, Susan Collins, mengundi menolak resolusi itu dan mendakwa meluluskan undang-undang tersebut akan menghantar mesej yang salah kepada Iran serta anggota tentera AS.

“Pada ketika ini, memberikan sokongan yang jelas kepada anggota perkhidmatan kita adalah amat penting, begitu juga rundingan berterusan oleh pentadbiran dengan Kongres,” katanya.

“Adakah anda berdiri bersama rakyat AS yang sudah letih dengan perang tanpa penghujung di Asia Barat, atau berdiri bersama Trump dan Hegseth ketika mereka membawa kita terus ke dalam satu lagi perang?” kata Ketua Demokrat Senat, Chuck Schumer.

Rang undang-undang tersebut akan diundi pada hari Khamis di Dewan Perwakilan, namun ia dijangka menghadapi laluan sukar.

Walaupun Presiden mempunyai kuasa luas untuk melancarkan tindakan ketenteraan tanpa pengisytiharan perang rasmi, Kongres mesti dimaklumkan dalam tempoh 48 jam selepas permusuhan bermula.

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio menegaskan pentadbiran Trump mematuhi syarat tersebut.

Pemimpin tertinggi Kongres dimaklumkan sebelum serangan awal bermula, dan Trump menghantar surat kepada Kongres pada hari Isnin, walaupun beliau menegaskan tindakan itu sebenarnya tidak perlu.

Trump sebelum ini juga mengarahkan operasi ketenteraan tanpa kelulusan Kongres, termasuk serangan AS ke atas kemudahan nuklear Iran tahun lalu dan penahanan Presiden Venezuela, Nicolás Maduro pada Januari.

“Sebagai permulaan, tiada pentadbiran presiden pernah menerima Akta Kuasa Perang sebagai sesuatu yang berperlembagaan sama ada Presiden Republikan mahupun Demokrat,” kata Rubio.

Kongres meluluskan Resolusi Kuasa Perang 1973 untuk mengehadkan keupayaan Presiden ketika itu, Richard Nixon, melancarkan perang di Vietnam.

Undang-undang itu memerlukan presiden memaklumkan Kongres dalam tempoh 48 jam selepas tindakan ketenteraan dan Kongres mesti meluluskan Kebenaran Penggunaan Kuasa Ketenteraan (AUMF) dalam tempoh 60 hari selepas permusuhan bermula.

Sejak tahun 2001, pentadbiran AS sering menggunakan AUMF yang diluluskan selepas serangan 11 September 2001 sebagai asas untuk tindakan ketenteraan di Asia Barat.

Beberapa percubaan untuk memansuhkan kebenaran tersebut sebelum ini gagal.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN