WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump kini semakin hilang arah ketika memasuki minggu kedua konflik dengan Iran selepas gagal menetapkan matlamat dan strategi jelas dalam peperangan yang dimulakannya itu.
Selain gagal meyakinkan rakyat AS dan menarik sokongan masyarakat antarabangsa terhadap perang itu, keadaan bertambah sukar bagi Trump susulan peletakan jawatan Pengarah Pusat Anti-Keganasan Kebangsaan, Joe Kent pada Selasa.
Kent secara terbuka menyatakan Republik Islam Iran tidak menimbulkan ancaman kepada Washington dan beliau enggan lagi menyokong perang berterusan terhadap negara itu.
Trump berulang kali berkata, Iran sudah dihancurkan oleh serangan AS-Israel, seolah-olah beliau berada pada kedudukan untuk mengisytiharkan kemenangan. Namun, sehingga kini pemimpin Republikan itu masih belum berbuat demikian.
Iran dilihat semakin lemah secara ketenteraan dan politik akibat gelombang serangan udara sejak 28 Februari lalu, namun negara itu tidak menunjukkan sebarang niat untuk menyerah.
Walaupun Trump menyatakan sudah berjaya memusnahkan angkatan tentera laut Iran, peluru berpandu balistiknya dan ramai pemimpin utama termasuk yang terbaharu, Ketua Keselamatannya, Ali Larijani, media AS melaporkan beliau masih gagal menjangka sepenuhnya kapasiti Iran untuk melakukan serangan balas berskala besar.
“Perang Iran hanya merupakan operasi ketenteraan bagi saya dan kami akan meninggalkannya dalam masa terdekat,” kata Trump namun beliau tidak menjelaskan tentang rancangan politiknya untuk negara itu selepas perang tamat.
NATO ENGGAN BEKERJASAMA
Sekutu Eropah dan anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) turut menolak permintaan Trump untuk menyertai usaha ketenteraan bagi membuka semula Selat Hormuz, laluan sempit Teluk yang kini hampir ditutup oleh Iran.
Trump mengkritik pertubuhan itu selepas kebanyakan sekutu AS menolak cadangannya untuk mengiringi kapal menyeberang laluan air penting itu, dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron menegaskan negaranya tidak akan pernah berbuat demikian sehingga situasi menjadi lebih tenang.
Canselor Jerman,Friedrich Merz turut senada, berkata, perang AS ke atas Iran bukan urusan NATO dan Berlin tidak akan menyertai perang atau membantu membuka laluan di Selat Hormuz.
Merz menekankan rundingan untuk mencari penyelesaian diplomatik hanya boleh bermula apabila Israel dan AS mengisytiharkan sudah mencapai objektif ketenteraan mereka.
Namun Trump menegaskan, Washington bersedia bertindak bersendirian terhadap Iran walaupun sekutu NATO sebelum ini bersetuju republik Islam itu perlu ditentang berhubung program nuklearnya.
“Saya fikir NATO sedang melakukan kesilapan yang sangat bodoh. Saya sudah lama tertanya sama ada NATO akan berada di sisi kita. Jadi ini adalah ujian besar.
“Kita tidak perlukan terlalu banyak bantuan. Kita tidak perlukan bantuan langsung,” kata Trump kepada wartawan ketika menerima kunjungan Perdana Menteri Ireland, Micheal Martin di Pejabat Oval.
Trump turut meluahkan kekecewaannya dalam hantaran panjang di platform Truth Social miliknya, mendakwa kebanyakan sekutu NATO tidak mahu terlibat, begitu juga Jepun, Australia dan Korea Selatan, sambil menggambarkan pakatan ketenteraan yang berdekad itu sebagai ‘jalan sehala’.
“Disebabkan kejayaan ketenteraan yang telah kita capai, kita tidak lagi memerlukan atau menginginkan bantuan negara-negara NATO. Kita tidak pernah memerlukannya!” katanya.
KEBUNTUAN DIPLOMATIK
Trump mengulangi kritikan terhadap rakan sejawat asing berhubung isu ini, menuduh Perdana Menteri Britain, Keir Starmer melakukan kesilapan besar kerana enggan memberikan sokongan kepada AS.
Dalam pengakuan jarang dibuat, Trump turut mengakui terkejut dengan serangan balas Iran yang menyasarkan negara-negara Teluk dari Arab Saudi hingga Qatar walaupun Teheran berulang kali memberi amaran tegas.
“Mereka tidak sepatutnya menyerang semua negara lain di Asia Barat. Tiada siapa menjangkakannya. Kami terkejut,” katanya.
Presiden Emeritus Majlis Hubungan Luar Negara, Richard Haass berkata, walaupun AS memulakan konflik ini sendiri, ia memerlukan kedua-dua Israel dan Iran untuk bersetuju menghentikannya.
Sementara itu, Penganalisis Institut Quincy, Trita Parsi berkata, pembunuhan Larijani tidak akan menjejaskan kemampuan kerajaan Iran untuk meneruskan perang.
Sebaliknya, ia menjejaskan jalan keluar untuk Trump atau keupayaannya mencari seseorang untuk berunding yang boleh membawa seluruh sistem Iran bersamanya.
“Individu-individu inilah yang disasarkan oleh pembunuhan Israel ini. Sama ada niat mereka untuk menjejaskan peluang Trump mencari jalan keluar dalam perang atau tidak, ia tetap merupakan salah satu akibat utama pembunuhan ini,” jelasnya.
Menurut Parsi, pembunuhan Larijani adalah langkah strategik oleh Israel untuk memanjangkan konflik dan mengelakkan AS keluar daripada perang terlalu awal.
“Israel mempunyai kepentingan mutlak untuk meneruskan perang ini selama mungkin. Mereka berjuang lebih 25 tahun untuk memastikan AS terlibat dalam perang skala penuh dengan Iran.
“Setelah matlamat itu akhirnya tercapai, mereka akan berhati-hati memastikan AS tidak menamatkan perang ini terlalu awal dari perspektif Israel. Oleh itu, mereka akan menolak agar perang ini dilanjutkan sejauh mungkin. Serangan pembunuhan ini mungkin sebahagian daripada rancangan itu.
“Apa yang Israel mahukan ialah memastikan Iran tidak mempunyai kemampuan untuk mencabar keinginan mereka menjadi kuasa dominan di Asia Barat. Dalam pandangan mereka, matlamat itu sedang dicapai, walaupun AS sendiri tidak mencapai sebarang objektif strategik melalui perang ini,” katanya.-AFP










