Syarikat Zuckerberg diarah bayar penalti lebih RM1 bilion - Utusan Malaysia

Syarikat Zuckerberg diarah bayar penalti lebih RM1 bilion

META diarah bayar penalti sebanyak RM1.4 bilion. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW MEXICO: Panel juri pada Selasa memutuskan bahawa syarikat gergasi teknologi, Meta telah gagal melindungi golongan kanak-kanak daripada pemangsa seksual dan mengelirukan pengguna mengenai tahap keselamatan platformnya serta melanggar undang-undang negeri New Mexico di Amerika Syarikat (AS).

Susulan keputusan tersebut, Meta diarah membayar penalti sivil berjumlah AS$375 juta (RM1.4 bilion). Keputusan itu dicapai selepas enam minggu sesi keterangan saksi yang melibatkan bekas eksekutif Meta, guru-guru dan pakar keselamatan dalam talian.

Pihak pendakwaan New Mexico berhujah bahawa Meta telah menyembunyikan tahap sebenar isu keselamatan yang dihadapi kanak-kanak di Facebook dan Instagram. 

Selain itu, Meta didakwa gagal menguatkuasakan had umur minimum 13 tahun, malah algoritma syarikat itu didakwa memudahkan pemangsa menyasarkan kanak-kanak bagi tujuan gangguan dalam talian dan pemerdagangan seks.

“Isu keselamatan yang anda dengar dalam kes ini bukanlah satu kesilapan,” tegas peguam negeri, Linda Singer kepada panel juri. 

“Ia adalah hasil falsafah korporat yang mengutamakan pertumbuhan dan penglibatan berbanding keselamatan kanak-kanak. Golongan muda di negeri ini dan seluruh negara terpaksa menanggung akibatnya,” tambahnya.

Pengasas bersama Facebook, Mark Zuckerberg merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Meta.

Dalam satu kenyataan balas pada Selasa, Meta menyatakan rasa tidak bersetuju dengan keputusan tersebut dan bercadang untuk mengemukakan rayuan. 

Jurucakap Meta menegaskan bahawa mereka telah berusaha keras untuk memastikan keselamatan pengguna dan sentiasa berterus-terang mengenai cabaran dalam mengenal pasti serta membuang kandungan berbahaya.

Terdahulu, peguam New Mexico menuntut penalti sebanyak AS$2 bilion (RM7.9 bilion) terhadap Meta atas dakwaan pencabulan undang-undang negeri berkaitan amalan perdagangan tidak adil. 

Kes yang dibawa oleh Peguam bela Negeri New Mexico, Raúl Torrez ini merupakan salah satu daripada siri perbicaraan di seluruh AS yang bakal menentukan sejauh mana syarikat teknologi besar perlu bertanggungjawab terhadap kandungan berbahaya di platform mereka.

Pihak pembelaan Meta pula berhujah bahawa syarikat itu telah mengambil pelbagai langkah inovatif, termasuk mengerahkan seramai 40,000 kakitangan bagi memastikan aplikasi mereka selamat dan menyifatkan tuntutan asal penalti berbilion dolar tersebut sebagai angka yang mengejutkan. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN