Syarikat kosongkan pusat kewangan Dubai selepas ancaman Iran

Syarikat kosongkan pusat kewangan Dubai selepas ancaman Iran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUBAI: Sekumpulan syarikat termasuk Citi, Deloitte, PwC dan beberapa firma lain di Dubai menutup pejabat atau meminta pekerja mereka berpindah selepas Iran mengancam aset ekonomi berkaitan Amerika Syarikat (AS) dan Israel di Asia Barat.

Pemindahan itu berlaku di pusat kewangan utama Dubai International Financial Centre (DIFC), ketika negara Teluk, terutamanya Emiriah Arab Bersatu (UAE) menjadi sasaran utama serangan balas Iran.

Tentera Iran mengancam untuk menyerang sasaran ekonomi AS dan Israel di rantau ini, termasuk bank, selepas serangan malam sebelumnya dilaporkan menjejaskan sebuah bank Iran.

Pekerja diminta meninggalkan pejabat Citi di DIFC dan Oud Metha, menurut seorang sumber yang mengetahui tentang evakuasi itu.

Kumpulan perunding Britain, PwC, akan menutup pejabat di Arab Saudi, Qatar, UAE dan Kuwait minggu ini sebagai langkah berjaga-jaga, menurut sumber kedua.

Sumber ketiga memaklumkan satu lagi firma perunding Britain, Deloitte turut memberitahu kakitangannya untuk meninggalkan pejabat DIFC pada petang ini.

Pekerja di dua syarikat lain di DIFC juga mengesahkan pejabat mereka sudah dikosongkan sebagai langkah keselamatan.

“Musuh memberi kami kebebasan untuk menyerang pusat ekonomi dan bank milik AS dan rejim Zionis,” kata Komando operasi pusat Iran, Khatam Al-Anbiya.

Mereka menasihati orang ramai di rantau ini untuk tidak berada dalam jarak satu kilometer dari bank.

Teheran sebelum ini menyasarkan aset AS di Teluk, tetapi juga infrastruktur awam termasuk lapangan terbang, pelabuhan, hotel dan mercu tanda.

Awal pagi ini dron jatuh berhampiran Lapangan Terbang Dubai, mencederakan empat orang, sementara serangan Iran menjejaskan tiga kapal berhampiran Selat Hormuz.

“Dua dron jatuh berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai , mengakibatkan kecederaan ringan kepada dua warganegara Ghana dan seorang warganegara Bangladesh, serta kecederaan serius kepada seorang warganegara India. Namun trafik udara beroperasi seperti biasa ,” menurut Pejabat Media Dubai.

Penasihat presiden UAE, Anwar Gargash berkata, Iran berbohong apabila mendakwa mensasarkan pangkalan AS di Teluk dan mengecam serangan terhadap infrastruktur awam tanpa menghiraukan orang awam yang tidak bersalah.

Seorang pekerja India di terminal kargo bersebelahan Terminal 2 Lapangan Terbang Dubai berkata, dia melihat sebuah dron terbang rendah, perlahan-lahan menurun sebelum terhempas ke sebuah bangunan terminal.

“Saya melihatnya dengan jelas, tetapi tiada letupan kuat apabila ia terhempas. Kira-kira 10 minit kemudian, saya melihat dron lain terbang dengan cara sama. Apabila ia terhempas, letupannya kuat,” katanya.

Sebuah kapal kontena dan sebuah kapal pukal turut diserang di luar pantai UAE, satu berhampiran Dubai dan satu lagi di utara Ras Al Khaimah, oleh projektil yang tidak diketahui, menurut United Kingdom Maritime Trade Operations (UKMTO).

Projektil ketiga mengenai sebuah kapal di luar Oman, di Selat Hormuz, menyebabkan kebakaran yang kemudian berjaya dipadamkan.

Dron juga menyerang tangki bahan api di pelabuhan Salalah, Oman, menurut media rasmi, sementara syarikat keselamatan maritim swasta Vanguard Tech melaporkan operasi pelabuhan digantung selepas serangan itu.

Arab Saudi berkata, mereka telah memintas tujuh peluru berpandu balistik yang mensasarkan wilayah timur dan Pangkalan Udara Prince Sultan.

Beberapa hari lalu, kemudahan besar Ras Tanura milik Saudi Aramco, salah satu loji penapisan terbesar Asia Barat disasarkan, begitu juga loji penapisan Ruwais di UAE, antara yang terbesar di dunia.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN