Stesen minyak Australia hadkan pembelian petrol sehari - Utusan Malaysia

Stesen minyak Australia hadkan pembelian petrol sehari

BEBERAPA kenderaan berada di sebuah stesen minyak di Australia. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYDNEY: Beberapa stesen minyak di kawasan luar bandar Australia dilaporkan kehabisan bekalan bahan api, dengan ada yang terpaksa mengehadkan pembelian kepada hanya AUD$20 dolar  (RM56) bagi setiap pelanggan susulan gelombang pembelian panik.

Pembelian panik di bandar-bandar utama di seluruh negara kini menjejaskan kawasan luar bandar, malah beberapa pekan kecil dilaporkan sudah kehabisan diesel. 

Pemilik sebuah stesen petrol di wilayah New England, Andrew Brown memberitahu NewsWire, beliau terpaksa mengenakan had tersebut bagi memastikan penduduk tempatan masih boleh mendapatkan bahan api sekiranya berlaku kecemasan.

“Pada mulanya kami mahu hadkan kepada AUD$50 (RM140), tetapi kami akan kehabisan bekalan dalam masa seminggu. Jadi, kami turunkan kepada AUD$20 dolar.

“Sebahagian besar penduduk tempatan memahami bahawa kami perlu mengekalkan bekalan untuk mereka. Pekan kami terletak kira-kira 60 kilometer dari Tamworth. Jadi, jika berlaku kecemasan, mereka dapat (pergi) ke bandar. Jumlah itu cukup untuk sampai ke sana.

“Kami sebenarnya boleh menaikkan harga dan kehabisan minyak dalam masa lima hari, tetapi jika kami cuba mencatu bekalan supaya ia dapat bertahan sehingga kira-kira 15 hari,” katanya.

Syarikat pengedar minyak, Transwest Fuel  membuat penghantaran minggu lalu walaupun stesen bahan apinya berdepan kekurangan bekalan.

Brown berkata, setakat ini Transwest Fuel tidak dapat membuat penghantaran baharu sekurang-kurangnya sehingga minggu depan, Beliau berkata, pihaknya kini hanya mempunyai kira-kira 1,500 liter bahan api yang dikhaskan untuk perkhidmatan kecemasan.

“Kami mungkin terpaksa menghentikan jualan kepada orang ramai supaya bekalan untuk pasukan Perkhidmatan Kecemasan Negeri (SES) dan bomba dapat dikekalkan walaupun keadaan itu belum berlaku,” katanya.

Menteri Tenaga Australia, Chris Bowen berkata, bekalan bahan api negara itu masih selamat dan penduduk di bandar-bandar utama tidak perlu membuat pembelian panik.

Namun, beliau mengakui permintaan meningkat mendadak, khususnya bagi diesel dan memahami kebimbangan rakyat Australia.

Walaupun kenyataan itu secara teknikalnya tepat, pengkritik di kawasan luar bandar mendakwa mereka terpinggir kerana kebanyakan bekalan bahan api dihantar ke pusat bandar utama.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN