ISLAMABAD: Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif mengumumkan penutupan semua sekolah sehingga akhir bulan ini dan pelaksanaan kerja dari rumah, ketika negara itu melaksanakan langkah penjimatan ketat susulan kenaikan mendadak harga bahan api global.
Menurut Shehbaz, sebanyak 50 peratus kakitangan dalam sektor awam dan swasta akan bekerja dari rumah, kecuali mereka yang berada dalam perkhidmatan penting seperti pertanian dan perbankan. Institusi pengajian tinggi juga akan mengadakan kelas secara dalam talian.
Perbelanjaan kerajaan akan dikurangkan sebanyak 20 peratus, manakala pembelian besar seperti perabot dan penyaman udara dilarang.
“Serangan ini menimbulkan ancaman besar kepada seluruh rantau. Pakistan sangat bergantung kepada bekalan tenaga dari negara-negara Teluk, kerajaan terpaksa membuat keputusan sukar demi ekonomi negara.
“Kami cuba mengambil jalan tengah supaya beban terhadap rakyat dapat dikurangkan. Saya akan cuba memastikan beban itu tidak dipikul oleh rakyat. Usaha ke arah itu sedang dilakukan siang dan malam,” kata Shehbaz dalam ucapan yang disiarkan di televisyen.
Pegawai kerajaan yang memperoleh lebih 300,000 rupee Pakistan (RM4,210) sebulan akan dipotong gaji bagi dua hari bayaran,.
Penggunaan kenderaan kerajaan akan dikurangkan sebanyak 60 peratus dalam tempoh dua bulan akan datang. Elaun bahan api bagi kenderaan tersebut juga akan dipotong separuh.
Kabinet Persekutuan tidak akan menerima gaji selama dua bulan akan datang, sementara ahli-ahli Parlimen akan mengalami pengurangan gaji sebanyak 25 peratus. Semua ahli Parlimen turut dilarang melakukan perjalanan ke luar negara.
Majlis berbuka puasa rasmi Ramadan dan jamuan makan malam serta acara keraian lain juga turut dilarang.
Perang Amerika Syarikat (AS)–Israel terhadap Iran kini memasuki minggu kedua dengan Teheran melancarkan serangan balas terhadap aset Washington di negara-negara Teluk, wilayah yang menghasilkan kira-kira satu perempat bekalan minyak dunia, selain mengekang laluan di Selat Hormuz.
Empat pengeksport bahan api terbesar kepada Pakistan ialah Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Arab Saudi dan Kuwait Semua negara itu dipercayai bakal menghentikan pengeluaran akibat perang terhadap Iran atau tidak dapat mengeksport kerana penutupan Selat Hormuz.
Kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan penggunaan petroleum global melalui Selat Hormuz. Qatar dan UAE pula menyumbang kira-kira 99 peratus daripada import gas asli cecair (LNG) Pakistan.
Shehbaz turut mengecam serangan AS dan Israel terhadap Iran dan serangan balas republik Islam itu di rantau Teluk, selain menawarkan diri sebagai perantara bagi menamatkan konflik yang semakin memuncak. – AGENSI










