Sri Lanka umum kenaikan tarif elektrik 40 peratus - Utusan Malaysia

Sri Lanka umum kenaikan tarif elektrik 40 peratus

GAMBAR fail empangan dan takungan hidroelektrik serta pengairan Moragahakanda, tengah Sri Lanka. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

COLOMBO: Sri Lanka pada Isnin mengumumkan kenaikan hampir 40 peratus tarif elektrik bermula esok ketika negara itu berdepan kekurangan tenaga yang berpunca daripada perang di Asia Barat.

Suruhanjaya Utiliti Awam Sri Lanka (PUCSL) berkata, kenaikan lanjut berkemungkinan berlaku pada April, selaras dengan harga tenaga global.

“Kenaikan yang kami umumkan dikira berdasarkan harga yang wujud sebelum konflik di Asia Barat,” kata Pengerusi PUCSL, K. P. L. Chandralal, kepada wartawan di Colombo.

Bagi kebanyakan pengguna kelas pertengahan, setiap kilowatt jam elektrik akan berharga 84 rupee (RM1), meningkat daripada 61 rupee (RM0.78), iaitu kenaikan sebanyak 39.34 peratus.

Sementara itu, pengguna-pengguna yang menggunakan kurang  30 kilowatt jam sebulan akan menyaksikan bil meningkat sebanyak 11.11 peratus.

Sri Lanka telah menaikkan harga bahan api tiga kali bulan ini, dengan peningkatan keseluruhan melebihi satu pertiga dan turut mengumumkan minggu kerja empat hari sebagai usaha menjimatkan tenaga.

Kerajaan juga telah meminta sektor swasta untuk mengembalikan amalan bekerja dari rumah.

Selat Hormuz, laluan perairan penting yang menjadi laluan kira-kira 20 peratus eksport minyak mentah dan gas dunia dalam keadaan aman, telah ditutup secara berkesan oleh Iran selepas serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel ke atas negara itu pada penghujung bulan lalu mencetuskan konflik serantau yang lebih besar.

Sri Lanka mengimport keseluruhan keperluan minyaknya dan juga membeli arang batu untuk penjanaan elektrik.

Negara itu membeli produk petroleum bertapis dari India, Singapura, Malaysia dan Korea Selatan, manakala minyak mentah untuk kilang penapisannya yang dibina Iran diperoleh dari Asia Barat.

Kerajaan memberi amaran bahawa pertempuran di Asia Barat dan sebarang perang yang berpanjangan, boleh menjejaskan secara serius usaha negara itu untuk pulih daripada krisis ekonomi 2022. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN