BATTAMBANG: Satu tinjauan terbaharu di kawasan gua di wilayah barat laut Battambang, Kemboja telah berjaya menemukan rangkaian spesies yang baru bagi dunia sains.
Antara penemuan utama termasuk seekor ular kapak berwarna firus, ular terbang, beberapa jenis cicak tokek, dua spesies siput mikro dan dua jenis ulat gonggok
Penemuan itu dilakukan di gua batu kapur yang sebahagian besarnya masih belum diterokai kini mendedahkan rahsia alam yang menakjubkan.
Kawasan yang merentasi beribu-ribu kilometer ini menjadi rumah kepada pelbagai spesies hidupan dan ekosistem unik yang tidak dapat ditemui di mana-mana tempat lain di dunia.
Setakat ini, spesies ular kapak tersebut dan tiga daripada cicak tokek yang ditemukan masih dalam proses penamaan rasmi dan pencirian.
Penemuan lain telah pun diiktiraf secara rasmi sepanjang tempoh tinjauan biodiversiti tersebut yang dijalankan dari November 2023 hingga Julai 2025, melibatkan penerokaan 64 buah gua di 10 kawasan perbukitan.
Lanskap batu kapur di Kemboja ini unik kerana setiap bukit dan gua terasing antara satu sama lain.
Menurut badan amal pemuliharaan Fauna & Flora yang berpangkalan di United Kingdom (UK), setiap kawasan ini berfungsi sebagai ‘makmal pulau’ evolusi yang tersendiri, di mana hidupan telah menyesuaikan diri mengikut habitat khusus mereka.
Ahli biologi evolusi, Profesor Lee Grismer dari Universiti La Sierra, California, menyifatkan fenomena ini seperti eksperimen alam semula jadi yang berlaku secara bebas di lokasi berbeza.
“Kami menganalisis ujian asid deoksiribonukleik spesies ini untuk melihat bagaimana proses evolusi berlaku. Ada yang kelihatan serupa dan ada yang berbeza dan melalui analisis ini, kita dapat memahami faktor utama yang mendorong cara haiwan itu berevolusi,” katanya dalam satu kenyataan. – CNN











