TEHERAN: Sehingga 3.2 juta orang mungkin dipindahkan sementara di dalam Iran berikutan konflik yang semakin memuncak, menurut Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Penilaian awal menunjukkan antara 600,000 hingga satu juta isi rumah Iran terpaksa meninggalkan kediaman mereka akibat permusuhan yang berterusan, kata UNHCR pada Khamis.
Kebanyakan mereka yang dipindahkan dipercayai melarikan diri dari Teheran dan bandar-bandar utama lain, menuju ke wilayah utara serta kawasan luar bandar untuk mencari tempat selamat.
“Angka itu berkemungkinan akan terus meningkat apabila permusuhan berterusan, menandakan peningkatan yang membimbangkan dalam keperluan kemanusiaan,” kata Pengarah Kecemasan dan Sokongan Program UNHCR serta Penyelaras Tindak Balas Pelarian Merentas Wilayah untuk Asia Barat, Ayaki Ito.
Krisis itu juga memberi kesan kepada pelarian yang menetap di Iran, terutama rakyat Afghanistan.
Ito berkata, keluarga-keluarga tersebut dianggap sangat terdedah memandangkan keadaan mereka sedia genting dan jaringan sokongan yang terhad.
Menurut UNHCR, agensi itu sedang menyesuaikan operasi di Iran, bekerjasama dengan pihak berkuasa negara itu dan rakan kongsi kemanusiaan untuk menilai keperluan serta bersiap sedia menghadapi pergerakan penduduk selanjutnya.
Agensi itu juga menggesa semua pihak untuk melindungi orang awam dan memastikan akses kemanusiaan, selain menyeru negara tersebut agar mengekalkan sempadan terbuka bagi mereka yang mencari perlindungan, selaras tanggungjawab antarabangsa.- AGENSI










