Rakyat Australia 'mengamuk' harga petrol naik lebih RM8 seliter - Utusan Malaysia

Rakyat Australia ‘mengamuk’ harga petrol naik lebih RM8 seliter

RAKYAT Australia kecewa apabila harga petrol meningkat kerana perang di Asia Barat. - Foto AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYDNEY: Rakyat Australia menyuarakan kekecewaan mereka apabila harga petrol melonjak di seluruh negara, impak daripada konflik yang semakin memuncak di Asia Barat yang mula menjejaskan bekalan bahan api global.

Seorang wanita di Gold Coast mendedahkan harga di stesen minyak tempatannya melompat daripada AUD$1.75 (RM4.86) kepada AUD$2.20 (RM6.11) hanya dalam masa tiga hari, sambil memberi amaran bahawa keadaan mungkin akan menjadi lebih buruk.

Keadaan yang sama dirasai di Sydney. Seorang penduduk bernama Hannah berkongsi pengalamannya mengisi minyak kereta Mazda miliknya yang menelan belanja AUD $111 (RM308), jauh lebih tinggi berbanding kadar biasa sekitar AUD$75 (RM208) hingga $85 (RM236).

Di beberapa kawasan seperti Liverpool di barat Sydney, stesen minyak Metro Petroleum dikesan mengenakan caj sehingga AUD$2.99 (RM8.26) seliter bagi petrol tanpa plumbum 98.

Seorang mekanik di New South Wales dikenali sebagai Cody memberi amaran kepada keluarga di Australia agar bersedia untuk ‘kesakitan’ ekonomi yang lebih perit jika harga $3 (RM8) seliter menjadi norma baharu. 

Beliau menjelaskan bahawa tangki standard 60 liter yang biasanya menelan belanja AUD$108 (RM299) kini boleh mencecah sehingga AUD$180 (RM499) untuk satu isian penuh.

Beliau menggesa pemandu untuk mula berjimat, merancang perjalanan dengan lebih teliti, dan memastikan kenderaan diselenggara dengan baik untuk kecekapan bahan api. 

Secara purata, harga petrol tanpa plumbum kini konsisten melebihi paras AUD$2.20 (RM6) hingga AUD$2.30 (RM6.38) di kebanyakan kawasan metropolitan.

Krisis ini berpunca daripada gangguan laluan perkapalan di Selat Hormuz.

Ia merupakan salah satu laluan bekalan minyak paling kritikal di dunia. 

Australia amat terkesan kerana negara itu mengimport kira-kira 90 peratus daripada keperluan bahan api cecairnya, menjadikan harga tempatan sangat sensitif terhadap pergolakan dunia. -AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN