ROM: Seorang pemandu ambulans berusia 27 tahun kini disiasat di Itali atas dakwaan membunuh sekurang-kurangnya lima warga emas yang berada di dalam kenderaan itu, menurut pejabat pendakwa raya tempatan.
Menurut jurucakap pejabat pendakwa raya Forli, kesemua mangsa mengalami serangan jantung dan sedang dirawat bagi penyakit serius.
Katanya, pengangkutan yang diperlukan bukan untuk tujuan kecemasan. Kecurigaan timbul selepas empat pesakit yang dibawa dengan ambulans itu meninggal dunia antara Februari dan November 2025.
Perkhidmatan itu, bekerjasama dengan pasukan polis, memasang kamera tersembunyi dan peranti rakaman di bahagian belakang kenderaan bagi tujuan siasatan.
Pada bulan yang sama, pesakit kelima merupakan seorang wanita berusia 85 tahun meninggal dunia semasa dalam perjalanan dari hospital jantung ke pusat pemulihan.
Mangsa mengalami serangan jantung semasa perjalanan dan disahkan meninggal dunia ketika masih berada di dalam ambulans, menurut jurucakap polis kepada laman berita CNN.
Pemandu ambulans itu, yang tidak didedahkan identiti dan belum ditahan, merupakan sebahagian daripada pasukan dua orang yang bertugas secara bergilir.
Menurut peguam pembelaannya, Gloria Parigi, lelaki itu bekerja dengan perkhidmatan ambulans sejak 2023. Parigi berkata, anak guamnya kini digantung tugas daripada perkhidmatan ambulans. – AGENSI










