DUBAI: Lapangan terbang Dubai, yang paling sibuk di dunia untuk trafik antarabangsa, menggantung operasinya hari ini susulan pintasan udara di kawasan itu ketika serangan dari Iran.
“Demi keselamatan penumpang, kakitangan lapangan terbang dan kru syarikat penerbangan, operasi di Dubai International (DXB) digantung sementara,” menurut kenyataan Pejabat Media Kerajaan Dubai di media sosial.
Pengumuman itu dibuat sejurus selepas pintasan udara terhadap objek berhampiran lapangan terbang, dengan saksi memberitahu AFP kedengaran letupan kuat diikuti kepulan asap.
Laman web pengesanan Flightradar24 menunjukkan pesawat berlegar di atas lapangan terbang dalam corak menunggu.
Penerbangan dari lapangan terbang utama Dubai sebahagiannya disambung semula pada Isnin walaupun serangan dron harian menyasarkan lokasi di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Syarikat penerbangan Emirates, penerbangan terbesar di Asia Barat, juga mengumumkan pada Sabtu bahawa semua penerbangan ke dan dari Dubai ditangguhkan sehingga diberitahu kelak.
“Sila jangan ke lapangan terbang,” menurut kenyataan syarikat itu.
Kerajaan Dubai dalam satu hantaran berkata, terdapat ‘insiden kecil akibat serpihan jatuh selepas pintasan, namun tiada kecederaan dilaporkan.
Ia turut menafikan ‘maklumat yang tular di media sosial mengenai kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai’, tanpa memberikan penjelasan lanjut.
“Pertahanan udara Emiriah Arab Bersatu kini bertindak balas terhadap ancaman peluru berpandu dan dron dari Iran,” kata Kementerian Pertahanan UAE, tanpa menyatakan sasaran serangan.
Sabtu lalu, empat kakitangan cedera dan sebuah terminal rosak di lapangan terbang Dubai apabila konflik di Timur Tengah meletus susulan serangan AS-Israel ke atas Iran.
Pengendali Lapangan Terbang Dubai ketika itu berkata, insiden berkenaan ‘dapat dikawal dengan cepat’, tanpa memberikan butiran lanjut.- AFP










