Objek pelik di Marikh dikenal pasti - Utusan Malaysia

Objek pelik di Marikh dikenal pasti

OBJEK misteri berbentuk topi ditemukan di Marikh. - NASA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Objek misteri berbentuk topi parti di planet Marikh yang mencetuskan teka-teki dalam kalangan pakar akhirnya dikenal pasti sebagai formasi batuan semula jadi. 

Menurut agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), bentuk unik tersebut terhasil akibat tiupan angin di planet merah itu yang dikenali mampu membentuk objek eksotik menyerupai benda di Bumi.

Namun, penjelasan tersebut tidak diterima oleh semua pihak.

Objek berbentuk kon yang kelihatan licin dan metalik itu sebelum ini menarik perhatian ramai saintis, termasuk pakar astrofizik dari Harvard, Avi Loeb. Beliau menggesa agensi angkasa lepas itu menggunakan kenderaan penjelajah Curiosity untuk meneliti apa yang kelihatan seperti kon kecil yang ganjil di permukaan Marikh tersebut.

Bagaimanapun, NASA kini mendakwa bahawa objek berkenaan bukanlah sesuatu yang luar biasa.

“Kami telah melihat banyak sekali batuan Marikh yang mempamerkan bentuk tertentu yang jika dilihat dari sudut tepat, akan kelihatan seperti bentuk yang kita kenali,” kata jurucakap agensi itu.

Objek tersebut juga dilaporkan jauh lebih kecil daripada anggaran asal beberapa saintis termasuk Loeb. Sebelum ini, Loeb membuat spekulasi bahawa objek ‘misteri’ itu berukuran kira-kira 20 sentimeter (sm) dan kemungkinan merupakan serpihan buatan manusia.

Menurut NASA yang kemudian menjelaskan bahawa kon licin itu sebenarnya hanya berukuran 1sm dan dirakam oleh kenderaan tersebut dari jarak 3.9 meter.

Meskipun angin di Marikh jauh lebih lemah berbanding di Bumi, batu-batu di planet tersebut tetap mampu menghasilkan bentuk yang nyata. Sebelum ini, penyelidik pernah menemui formasi ‘bunga’ sekecil syiling yang kelihatan seperti terumbu karang, namun sebenarnya terjadi disebabkan  oleh tiupan angin. – AGENSI

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN