LONDON: Kerajaan Britain menangguhkan kerja-kerja perobohan di beberapa bahagian Menara Grenfell selepas keluarga mangsa memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya dinding yang mempunyai kesan tapak tangan mangsa tidak dipelihara.
Tragedi kebakaran di blok perumahan sosial 24 tingkat di salah satu kawasan terkaya di London pada Jun 2017 itu mengorbankan 72 nyawa, manakala kerja-kerja perobohan menara tersebut pula hanya bermula pada September tahun lalu.
Semasa lawatan sebelum perobohan dijalankan, pihak keluarga menemukan bahagian dinding tangga yang mempunyai kesan tapak tangan dipercayai milik mangsa atau mangsa yang terselamat, selain tulisan jawi ‘Allahu Akbar’ pada tingkat yang lain.
Susulan permintaan untuk memelihara dinding tersebut, seorang pegawai kerajaan sebelum ini menyatakan mereka tidak akan menyimpan mana-mana bahagian di atas tingkat sembilan atas faktor sensitiviti dan kehilangan nyawa, sedangkan kedua-dua kesan tapak tangan dan tulisan tersebut terletak di atas paras berkenaan.
Menurut Reuters, pihak keluarga memfailkan surat pra-tindakan pada minggu lalu bagi memohon semakan kehakiman terhadap keputusan tersebut.
Kumpulan Grenfell Next of Kin (GNK), yang mewakili keluarga si mati, berhujah, bekas timbalan perdana menteri, Angela Rayner pernah berjanji pada tahun 2025 yang bahagian menara itu boleh dipelihara sebagai tugu peringatan sekiranya komuniti mahukannya.
Mereka menggesa kerajaan untuk melindungi kawasan tersebut sementara perbincangan bersama keluarga mangsa dan pereka tugu peringatan sedang dijalankan.
Seorang jurucakap bagi kementerian kerajaan yang bertanggungjawab ke atas isu Grenfell mengesahkan, disebabkan tindakan undang-undang yang sedang berjalan, kerja-kerja perobohan di kawasan berkaitan dihentikan buat sementara waktu.
Pihak GNK pula menyatakan perlindungan tersebut hanya berjaya diperolehi selepas keluarga mangsa terpaksa mengambil tindakan undang-undang.
Jabatan undang-undang kerajaan memaklumkan bahagian di antara tingkat 12 dan 14 akan dipagar sementara perobohan diteruskan di kawasan lain, manakala kerja perobohan di zon terlibat dihentikan sementara menunggu maklum balas terhadap surat pra-tindakan tersebut.










