GAZA: Empat rakyat Palestin termasuk seorang kanak-kanak, terbunuh manakala seorang lagi cedera akibat tembakan dan bedilan Israel yang menyasarkan kawasan di Gaza City dan utara Semenanjung Gaza.
Insiden ini menandakan pelanggaran baharu terhadap gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak 10 Oktober lalu, lapor Anadolu.
Ismail Aql, 12, terbunuh selepas tentera Israel melepaskan tembakan berhampiran Sekolah Khalifa di utara Gaza yang menjadi tempat perlindungan bagi orang awam yang kehilangan tempat tinggal.
Seorang lagi warga Palestin, Ayman Ahmed al-Nabih, 54, terbunuh dalam bedilan Israel yang menyasarkan kawasan kejiranan Tuffah di timur Gaza City. Jenazahnya telah dibawa ke Hospital Al-Ahli Baptist di pusat bandar.
Saksi memberitahu Anadolu artileri Israel membedil kawasan di mana al-Nabih berada yang terletak di luar zon penempatan tentera Israel mengikut perjanjian gencatan senjata.
Di kawasan kejiranan Tuffah, Rizq Iyad al-Sharafa, 22, dilaporkan cedera apabila dron Israel menyasarkan sekumpulan orang awam berhampiran bulatan al-Sharafa, mengikut sumber perubatan.
Terdahulu, Abdelwahab Asaad Qanbour, 32, terbunuh dalam bedilan Israel yang menyasarkan kawasan kejiranan Shujaiya, timur Gaza City.
Jenazahnya turut dihantar ke Hospital Al-Ahli Baptist. Saksi berkata, dron Israel menyerang Qanbour ketika beliau berada berhampiran Jalan Salah al-Din di Shujaiya, juga di kawasan luar zon penempatan tentera Israel.
Sejak gencatan senjata Gaza dikuatkuasakan, pelanggaran oleh pihak Israel melibatkan bedilan dan tembakan mengorbankan 636 rakyat Palestin dan mencederakan 1,704 yang lain setakat Khamis, menurut sumber Palestin.
Perjanjian tersebut dicapai selepas dua tahun genosid yang dilancarkan oleh Israel pada 8 Oktober 2023.
Perang tersebut telah menyebabkan lebih 72,000 rakyat Palestin terkorban dan 172,000 cedera, selain memusnahkan kira-kira 90 peratus infrastruktur awam Gaza dengan kos pembinaan semula dianggarkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mencecah kira-kira AS$70 bilion (RM276 bilion).










