Jutawan Dubai ubah bilik keselamatan jadi ruang kalis bom - Utusan Malaysia

Jutawan Dubai ubah bilik keselamatan jadi ruang kalis bom

SEBUAH vila yang terdapat di Dubai. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUBAI: Golongan jutawan di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) mengubah suai fungsi bilik keselamatan berkubu di kediaman masing-masing menjadi tempat perlindungan kalis bom susulan konflik yang semakin memuncak di Asia Barat.

Bilik itu yang sebelum ini dibina bagi melindungi pemilik rumah daripada ancaman penculikan dan kecurian kini digunakan sebagai ruang perlindungan kecemasan ketika gangguan keselamatan berlaku.

Antara yang berbuat demikian termasuk bekas pemain pertahanan kelab bola sepak Manchester United, Rio Ferdinand, 47, yang berpindah ke Dubai bersama isterinya, Kate, 34, dan tiga anak mereka pada Ogos lalu.

Keluarga itu menghabiskan malam pertama ketika gangguan serangan Iran tercetus dengan berlindung di ruang bawah tanah kediaman mewahnya yang dianggarkan bernilai AS$8.7 juta (RM34.2 juta).

“Kami dinasihatkan supaya turun ke ruang bawah tanah pada malam pertama kekecohan bermula, dan kami tidur di sini dengan selimut. Kami memanfaatkan ruang ini sebaik mungkin,” kata Kate menerusi media sosial.

Kate turut meyakinkan pengikutnya di media sosial dengan kemas kini ringkas memaklumkan mereka sekeluarga berada dalam keadaan selamat.

“Walaupun begitu, Cree dan Shae (anak Ferdinand dan Kate) menyukainya kerana mereka tidak percaya kami semua dapat tidur bersama di ruang bawah tanah,” katanya.

Bagaimanapun, Ferdinand mengaku keadaan semasa masih mencetuskan kebimbangannya.

“Saya perlu jujur, ini memang situasi yang agak menakutkan,” katanya.

Selain keluarga Ferdinand, usahawan Kuwait-Amerika Syarikat (AS), Ebraheem Al Samadi, yang juga pelakon rancangan realiti televisyen Dubai Bling, dilaporkan turut mengambil langkah sama apabila memuat naik rakaman video dari gimnasium bawah tanah kediamannya bagi memaklumkan kepada 1.2 juta pengikut mengenai keselamatan beliau.

Al Samadi dianggarkan memiliki kekayaan sekitar 38 juta pound (RM199 juta).

Antara hartanah paling mahal di bandar itu ialah Marble Palace, yang terletak di kawasan eksklusif Emirates Hills dan dijual tahun lalu pada harga 86 juta pound (RM452 juta), dipercayai dilengkapi beberapa bilik keselamatan kalis bom selain pencawang elektrik persendirian.- AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN