TEBING BARAT: Empat sekeluarga termasuk dua kanak-kanak berusia 5 dan 7 tahun, ditembak mati oleh tentera Israel ketika dalam perjalanan pulang selepas berbuka puasa.
Tentera Israel mendakwa, mereka melepaskan tembakan kerana merasakan pergerakan kereta keluarga itu sebagai ancaman.
Insiden tersebut merupakan yang terbaharu dalam peningkatan jumlah kejadian maut di wilayah Palestin yang diduduki, di mana rakyat Palestin terbunuh sama ada oleh tentera Israel atau penduduk haram Yahudi.
Ali Bani Odeh, 37, dan isterinya, Wa’ed Bani Odeh, 35, membawa empat anak mereka dari bandar Nablus ketika terkena tembakan, menurut Khaled Bani Odeh, 11, seorang daripada dua kanak-kanak yang terselamat.
“Tiba-tiba terdengar tembakan terus ke arah kami. Kami tidak tahu dari mana,” kata Khaled kepada wartawan Palestin di hospital, yang kemudian berkongso temu bual tersebut dengan CNN.
Rakaman selepas insiden itu menunjukkan peluru bertaburan di jalan raya dan kesan darah di beberapa bahagian.
“Saya cuba membantu adik saya, Mohammed, tetapi tidak berjaya. Kini tiada siapa yang tinggal selain saya dan adik, Mustafa,” katanya.
Selain Mohammed, 5, adiknya, Othman, 7, turut terbunuh dalam insiden tembakan itu.
Tentera Pertahanan Israel (IDF) memberitahu CNN ‘keadaan insiden sedang disiasat oleh pihak berkuasa berkaitan’.
“Sebuah kenderaan memecut ke arah pasukan kami. Pasukan berasa terancam dan bertindak melepaskan tembakan,” kata tentera dalam satu kenyataan. “Akibatnya, empat rakyat Palestin yang berada dalam kenderaan itu terbunuh.”
Sehingga kini, sebarang rakaman CCTV yang boleh membantu menentukan pergerakan sebenar kereta itu masih belum muncul, dan IDF belum mengeluarkan sebarang video.










