TEHERAN: Iran mengesahkan kematian ketua keselamatan negaranya yang berpengaruh, selepas Israel menyatakan beliau terbunuh dalam serangan udara dan berikrar untuk memburu serta menewaskan pemimpin tertinggi baharu Iran, Mojtaba Khamenei.
Pembunuhan Ali Larijani berlaku ketika Speaker Parlimen Iran berikrar perkapalan di Selat Hormuz tidak akan kembali seperti sebelum perang, dan Presiden Amerika Syarikat, (AS), Donald Trump mengecam sekutu yang menolak gesaannya untuk membantu mengiringi kapal tangki minyak melalui laluan air yang disekat itu.
Larijani yang rapat dengan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei yang turut meninggal dunia telah membantu mengetuai kempen serangan balas Iran dalam perang dicetuskan AS-Israel.
Pengebumian Larijani, serta Gholamreza Soleimani, yang mengetuai pasukan separa tentera Basij dan turut terbunuh oleh Israel pada Selasa, akan diadakan pada pagi Rabu di pusat Teheran, menurut agensi Fars dan Tasnim.
Pengawal Revolusi Iran (IRGC) turut mengesahkan kematian Soleimani dalam satu kenyataan pada malam Selasa.
“Selepas seumur hidup berjuang demi kemajuan Iran dan Revolusi Islam, beliau akhirnya mencapai cita-cita yang lama diidamkan, menyahut panggilan Ilahi, dan dengan penuh kehormatan memperoleh kemuliaan syahid dalam medan perkhidmatan,” kata Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran.
Tentera Israel turut berikrar akan menghapuskan pemimpin tertinggi baharu Iran, Mojtaba Khamenei yang mengambil alih kuasa selepas kematian bapanya pada 28 Februari.
“Kami tidak tahu tentang Mojtaba Khamenei, kami tidak mendengar atau melihatnya, tetapi satu perkara pasti, kami akan menjejakinya, menemuinya, dan meneutralkannya,” kata jurucakap tentera Israel, Brigedier Jeneral Effie Defrin kepada wartawan.
Dalam kenyataan televisyen, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mendakwa Larijani sebagai ketua kepada kumpulan samseng yang mentadbir Iran.
“Penggulingan pihak berkuasa Iran oleh rakyat tidak akan berlaku serta-merta dan bukan sesuatu yang mudah. Tetapi jika kita teruskan usaha ini, kita akan memberi mereka peluang untuk menentukan nasib sendiri,” dakwanya.
Walaupun Mojtaba Khamenei tidak muncul di khalayak sejak dilantik, Larijani, 68, dilihat berjalan bersama orang ramai dalam perhimpunan pro-kerajaan minggu lalu di Teheran.
“Beliau sebenarnya merupakan individu yang bertanggungjawab terhadap kelangsungan rejim, dasar serantau dan strategi pertahanan. Pemimpin tertinggi memberi arahan, tetapi beliau yang melaksanakannya. Dia adalah orang kanan,” kata Pengasas bersama Atlantic Middle East Forum, David Khalfa kepada AFP.
Tidak lama selepas Israel mendakwa telah membunuhnya, akaun media sosial rasmi Larijani menyiarkan nota tulisan tangan beliau yang memberi penghormatan kepada pelaut Iran yang terbunuh dalam serangan kapal selam AS bulan ini.
Imej di televisyen negara Iran menunjukkan orang ramai berhimpun dalam jumlah besar di Teheran dan bandar lain, ramai mengibarkan bendera negara, pada malam yang biasanya disambut meriah menjelang Tahun Baharu Parsi, Nowruz.
Wartawan AFP melaporkan sambutan Nowruz yang suram di Teheran, dengan bunyi bunga api dan mercun diselangi tembakan sistem pertahanan udara.
Tentera Israel menyatakan ia menyerang kedudukan pasukan Basij di sekitar Teheran pada Selasa, selepas mengumumkan telah membunuh ketua tertinggi kumpulan itu, Soleimani.
Israel sebelum ini berkata ia turut menyasarkan ketua sayap ketenteraan kumpulan Jihad Islam Palestin, Akram al-Ajouri dalam satu serangan di Iran.
Sejak serangan rentas sempadan oleh Hamas ke atas Israel dari Gaza pada 7 Oktober 2023, Israel melaksanakan apa yang disifatkan penganalisis sebagai dasar pemenggalan kepimpinan, dengan menyasarkan pemimpin musuhnya.
Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan pada Selasa menyifatkan pembunuhan tersebut sebagai benar-benar menyalahi undang-undang.-AFP










