TEHERAN: Angkatan Tentera Iran menafikan melancarkan sebarang peluru berpandu ke arah wilayah Turkiye, sambil menegaskan Teheran menghormati kedaulatan negara itu, menurut kenyataan yang disiarkan media kerajaan.
Menurut kenyataan tersebut yang dipetik agensi berita Mehr, Iran menegaskan kedaulatan negara jiran adalah keutamaan dalam doktrin pertahanannya.
“Angkatan tentera Republik Islam Iran menghormati kedaulatan negara jiran dan sahabat, Turkiye dan menafikan sebarang pelancaran peluru berpandu ke arah wilayah negara tersebut,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan pada Khamis dibuat selepas Kementerian Pertahanan Turkiye memaklumkan pada Rabu, sebuah peluru berpandu balistik yang dilancarkan dari Iran menuju ruang udara Turkiye selepas melalui Syria dan Iraq dimusnahkan oleh sistem pertahanan udara dan peluru berpandu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di timur Laut Mediterranean.
Tidak jelas ke mana sasaran peluru berpandu itu.
“Peluru berpandu balistik yang dilancarkan dari Iran dan dikesan melalui ruang udara Iraq serta Syria menuju ke ruang udara Turkiye telah dipintas tepat pada masanya oleh aset pertahanan udara dan peluru berpandu NATO yang ditempatkan di timur Mediterranean dan berjaya dinyahaktifkan,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, tiada kematian atau kecederaan dilaporkan, sambil menambah Ankara berhak bertindak balas terhadap sebarang tindakan bermusuhan terhadapnya serta memberi amaran kepada semua pihak supaya tidak meningkatkan ketegangan konflik.
Dalam ucapannya, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan berkata, negara itu mengambil semua langkah berjaga-jaga yang perlu dengan berunding bersama sekutu NATO dan mengeluarkan amaran paling tegas bagi mengelakkan insiden sama berulang.
“Jika kita sebagai sebuah negara mahu hidup dalam keamanan dan ketenteraman, kita mesti sentiasa meningkatkan keupayaan pencegahan kita. Dalam masa sukar ini, kami tidak mengambil sebarang risiko berhubung keselamatan sempadan dan ruang udara negara,” katanya.
Menteri Luar Turkiye Hakan Fidan pada Rabu turut menyampaikan bantahan Ankara dalam panggilan telefon kepada rakan sejawatannya dari Iran, menurut laporan agensi berita Reuters.










