SINGAPURA: Hanya dalam tempoh bulan ini sahaja, seramai 20 pemandu bas mini sambilan di Singapore Cab Booking telah berhenti menerima tempahan kerja kerana tidak lagi mampu menampung lonjakan harga diesel yang melampau.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Farid Khan berkata, pemandu tersebut terpaksa memulangkan bas mini masing-masing kerana kadar sewa kenderaan turut meningkat seiring dengan harga bahan api.
Ada di antara mereka yang memilih untuk berhenti terus atau beralih menjadi pemandu teksi.
“Dalam pengalaman 20 tahun saya dalam industri ini, saya tidak pernah melihat harga bahan api naik setinggi ini. Kami benar-benar tidak bersedia untuk menghadapi situasi ini,” ujar Farid seperfti laporan Channel News Asia (CNA).
Harga diesel di republik itu kini telah melonjak melepasi paras S$4.00 (RM12.46) seliter, sehingga memintas harga petrol. Semakan pada aplikasi perbandingan harga, Price Kaki pada Isnin menunjukkan Shell, Esso dan Caltex mengenakan caj S$4.13 (RM12.89) seliter untuk diesel, manakala SPC pada kadar S$3.92 (RM12.23) dan Sinopec S$3.72 (RM11.61).
Sebagai perbandingan, harga petrol gred RON95 hanya berada dalam lingkungan S$3.40 (RM10.61) hingga S$3.42 (RM10.67).
Untuk rekod, pada penghujung Februari lalu, harga diesel masih berada pada tahap yang jauh lebih rendah iaitu antara S$2.57 (RM8.02) hingga S$2.66 (RM8.30).
Lonjakan ini didorong oleh gangguan bekalan minyak mentah akibat peperangan antara Amerika Syarikat (AS)-Israel dengan Iran yang sedang berlarutan.
Situasi ini telah menyebabkan kos operasi melambung tinggi bagi pelbagai sektor, daripada penyedia logistik hinggalah kepada firma penghantaran barangan.
Beberapa syarikat yang ditemubual CNA menyatakan mereka terpaksa memperkenalkan caj tambahan bagi mengurangkan impak kerugian, namun berdepan tentangan daripada pelanggan.
Bagi Singapore Cab Booking, perbelanjaan diesel telah meningkat hampir dua kali ganda, manakala kos operasi bulanan melonjak antara 40 hingga 60 peratus.
Walaupun syarikat berjaya meyakinkan sebahagian pelanggan korporat untuk membayar tambahan S$5 (RM15.60) bagi setiap perjalanan, ramai lagi yang mengadu kewangan mereka juga sudah terbeban.
“Pelanggan kelihatan sangat keberatan untuk membayar kenaikan harga tersebut. Mereka mengharapkan kami yang menanggung kos itu,” kata Farid, sambil melahirkan kebimbangan pelanggan mungkin beralih kepada pesaing jika beliau menaikkan harga secara menyeluruh.
Beliau menambah, syarikatnya juga tersepit kerana tidak boleh menaikkan harga sewenang-wenangnya bagi pelanggan yang sudah mempunyai kontrak jangka panjang selama satu atau dua tahun.
Iran sebelum ini telah mengancam untuk membalas dengan menyasarkan infrastruktur tenaga dan loji penyahgaraman air di negara-negara jiran Arab yang menempatkan tentera AS menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan konflik menjadi lebih meluas. – AGENSI/AFP










