AS siasat rakan dagang termasuk Malaysia, Indonesia - Utusan Malaysia

AS siasat rakan dagang termasuk Malaysia, Indonesia

SEBUAH kapal kontena berlabuh di Pelabuhan Jersey, AS. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) melancarkan satu siasatan baharu terhadap beberapa rakan dagang utamanya selepas Mahkamah Agung negara itu membatalkan sebahagian dasar tarif Presiden Donald Trump bulan lalu, lapor Perbadanan Penyiaran British (BBC) semalam.

Pada Rabu, Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer berkata, siasatan mengenai amalan dagangan tidak adil di bawah Seksyen 301 berpotensi membawa kepada pengenaan tarif baharu terhadap negara China, Kesatuan Eropah (EU), India, Japan, Korea Selatan dan Mexico menjelang musim panas ini.

Siasatan itu boleh membenarkan AS mengenakan cukai import ke atas barangan dari mana-mana negara yang didapati terlibat dalam amalan dagangan tidak adil.

Greer berkata, beliau berharap siasatan dapat diselesaikan sebelum tarif sementara baharu yang dikenakan oleh Trump pada akhir Februari tamat pada bulan Julai.

“Amerika tidak lagi akan mengorbankan asas perindustriannya kepada negara lain yang mungkin mengeksport masalah mereka akibat kapasiti dan pengeluaran berlebihan kepada kita,” kata Greer dalam pengumuman itu.

Negara lain yang sedang disiasat termasuk Vietnam, Thailand, Malaysia, Kemboja, Singapura, Indonesia, Bangladesh, Switzerland dan Norway.

Canada, rakan dagang kedua terbesar AS, tidak disebut sebagai sasaran siasatan.

Langkah ini dibuat beberapa minggu selepas Mahkamah Agung AS memutuskan bahawa tarif yang dikenakan oleh Trump ke atas pelbagai negara pada April tahun lalu adalah tidak sah.

Tidak lama selepas keputusan itu, presiden mengumumkan tarif global baharu sebanyak 10 peratus, menggelar keputusan mahkamah itu sebagai teruk dan mengecam hakim-hakim yang menolak dasar perdagangan beliau sebagai bodoh.

Pada hari berikutnya, beliau berkata, kadar tarif akan menjadi 15 peratus tetapi apabila berkuat kuasa, kadar sebenar yang dikenakan adalah 10 peratus

Sejak itu, Trump dan pegawai kanan lain dalam pentadbirannya menyatakan bahawa kadar itu akan dinaikkan kepada 15 peratus.

Siasatab juga berlaku ketika pegawai kanan AS dijadualkan bertemu rakan sejawat mereka dari China di Paris, Perancis hujung minggu ini.

Perbincangan itu dijangka membantu meletakkan asas untuk pertemuan Trump dengan Presiden Xi Jinping di Beijing pada penghujung bulan ini. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN