RIYADH/TEL AVIV: Pasukan Saudi Arabia memintas lebih dua belas dron pada Jumaat selepas Iran berikrar untuk menyerang sumber minyak di Asia Barat.
“Dua belas dron telah dipintas dan dimusnahkan selepas memasuki ruang udara Arab Saudi,” kata jurucakap kementerian pertahanan dalam satu hantaran di X.
Dalam kenyataan berasingan, mereka turut memaklumkan bahawa satu gelombang sembilan dron dan kemudian tujuh lagi juga telah ditembak jatuh.
Arab Saudi telah menjadi sasaran serangan dron sejak beberapa hari kebelakangan ini.
Pihak berkuasa negara itu mengesahkan mereka menembak jatuh beberapa dron yang menuju ke medan minyak penting Shaybah minggu ini.
Iran berikrar untuk mengganggu pasaran tenaga global sebagai tindak balas terhadap serangan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel yang bermula pada penghujung bulan lalu, yang mengorbankan pemimpin tertinggi Iran dan mencetuskan perang di Asia Barat.
Sementara itu, Israel juga diserang awal Jumaat oleh gelombang peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran.
Tentera Israel menyatakan sistem pertahanan udaranya berusaha memintas serangan tersebut.
Perkhidmatan kecemasan Israel melaporkan dua orang cedera di utara negara itu.
“Sebentar tadi, Pasukan Pertahanan Israel mengenal pasti peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran menuju ke wilayah Israel. Sistem pertahanan sedang beroperasi untuk memintas ancaman tersebut,” tulis tentera Israel di saluran rasmi Telegram mereka.
Tidak lama kemudian, tentera Israel mengeluarkan amaran yang sama sekali lagi.
Selepas amaran pertama, perkhidmatan kecemasan Magen David Adom berkata, mereka tidak menerima sebarang panggilan kecemasan.
Namun, selepas amaran kedua, agensi itu memaklumkan bahawa dua orang telah menerima rawatan akibat kecederaan di utara Israel.
Seorang wanita berusia 34 tahun, dimasukkan ke hospital kerana mengalami kecederaan akibat serpihan letupan, menurut pasukan penyelamat.
Amaran roket dan peluru berpandu turut dikeluarkan di seluruh Israel susulan amaran daripada pihak tentera. – AFP










